Khamis, 14 Februari 2013

Hadis 40 - Imam Nawawi - Koleksi Hadis Ke 31 hingga Hadis Ke 35

Hadis Ke 31 :

Dari Abu Abbas, Sahil bin Saad As-Sa’idd r.a, berkata :

" Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya : Ya Rasulullah, tunjukkan aku suatu amalan, sekiranya aku buat, nescaya aku dicintai oleh Allah dan orang ramai."

"Maka dijawab Nabi : ‘ Hendaklah zahid di dunia, nescaya engkau dicintai oleh Allah dan engkau zahid pada apa yang ada di sisi manusia, maka nescaya engkau dicintai oleh orang ramai."


Hadis Ke 32 :

Dari Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan Al-Khudri r.a. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda : 

"Tiada mudharat dan tiada memudharatkan" 


Hadis Ke 33:


Dari Ibn Abbas r.a bahawa Nabi SAW pernah bersabda : 

"Jika dilayankan setiap orang dengan tuntutannya, nescaya ada orang yang menuntut harta benda orang lain dan ada pula yang menuntut darahnya. Akan tetapi yang menuntut itu harus menbawa saksi, manakala yang memungkiri harus bersumpah."

Hadis Ke 34 :


Dari Abi Said Al-Khudri r.a. katanya :  Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya (nasihatnya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya ( tidak meredhai perbuatan tersebut ). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman."

Hadis Ke 35 :

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :  Telah bersabda Rasulullah SAW :

"Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan jangan kamu tipu-menipu, dan jangan benci-membenci, dan jangan musuh memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain, dan jadilah kamu sekelian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."

"Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu berpunca dari sini – sambil Nabi SAW menunjukkan ke dadanya tiga kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya." 



Susunan: Cik Puan Ayu Blogz



Jumaat, 8 Februari 2013

SYARIAT, TARIKAT, HAKIKAT & MAKRIFAT (BAHAGIAN 2)

Bahagian 2

Bagi mereka yang berusaha bersungguh-sungguh mengamalkan dan melaksanakan hukum syariat, inilah yang dinamakan TARIKAT atau disebut dalam bahasa arab ialah TAREKAH. Tarikat dari segi bahasa ialah jalan. Ingin diulang lagi agar lebih jelas.

Apabila seseorang telah mempelajari, memahami dan meyakini ilmu syariat, lalu dia meLAKSANAKAN atau BERAMAL dengan ilmu syariat tersebut, maka itulah yang diertikan dengan TARIKAT. Melaksanakan atau beramal dengan syariat. Oleh itu apabila seseorang menjalankan atau melaksanakan hokum syariat dengan bersungguh-sungguh, setiap suruhan Allah sama ada yang wajib dan yang sunat dilaksanakan sungguh-sungguh.

Setiap larangan Allah sama ada yang haram atau yang makruh ditinggalkan sungguh-sungguh. Maka mereka telah dikatakan telah BERTARIKAT.

Contohnya : Ahmad telah ke madrasah dan mempelajari cara sembahyang. Dia telah mempelajari rukun sembahyang, syarat wajib sembahyang, perkara yang sunat dilakukan dalam sembahyang, syarat sah sembahyang dan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang. Setelah dia mempelajari dan memahami ilmu tersebut, dia pun beramal dengan ilmunya untuk menunaikan sembahyang. Maka Ahmad telah dikatakan telah berTARIKAT di bidang sembahyang.


Tarikat pada erti kata yang pertama ini hukumnya adalah WAJIB. Inilah jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat serta tabiin dan orang dizaman salafussoleh. Jalan inilah juga yang patut kita lalui, iaitu jalan yang menjadikan kita melaksanakan segala perintah yang disuruh Allah dan meninggalkan perintah yang dilarang oleh Allah. Inilah perkara yang wajib kita lakukan sebagai makhluk yang dicipta Allah dan mahu menjadi hamba kepada Allah Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.


Adapun Tarikat dari istilah yang kedua, ialah apabila seseorang menyusun ayat-ayat Al Quran tertentu, zikir-zikir tertentu, salawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan diamalkan secara berjadual dalam kehidupan sehari-harian. Tarikat yang diertikan disini hokum asalnya hanyalah SUNAT.

 Dari sinilah lahir jemaah-jemaah zikir atau dipanggil orang sebagai jemaah tarikat. Antara jemaah zikir atau jemaah tarekat yang kita sering dengar ialah Tarikat Ahmadiah, Tarikat Naqsyabandiah, Tarikat Samaniah, Tarikat Syazaliah, Tarikat Kadiriah, Aurad Muhammadiah dan lain-lain lagi.

Jadi termasuk jugalah di dalam kategori ini ialah pengamalan Al Ma’thurat. Tujuan mereka menghimpun dan beramal adalah untuk mendidik diri untuk berdisiplin dalam beramal dengan ketiga-tiga juzuk ilmu Islam iaitu Tauhid, Feqah & Tasawuf.

Secara tak langsung memberi kekuatan jiwa tambahan untuk beramal dengan hukum syariat secara keseluruhan, dalam kehidupan sehari-hari. Sama ada dalam diri, dalam keluarga, dalam masyarakat hingga ke peringkat negara. Sebab itu jika disingkap lembaran sejarah, tunggak perjuangan sesuatu gerakan Islam adalah disokong oleh jemaah zikir atau tarekat.

1. Sultan Muhammad Al Fateh, sultan yang berjaya menawan Kota Konstantinopel dan pengasas Kekhalifahan Othmaniah adalah ahli zikir / ahli tarekat.


2. Begitu juga As Syahid Omar Mokhtar pejuang terakhir Gerakan Sanusi yang merupakan benteng pertahanan terakhir khalifah Otmaniah adalah pengamal Tarekat As Sanussiah.

3. Imam Bonjol di Aceh yang menentang penjajahan Belanda adalah ahli Tarekat Naqsyabandiah.

4. Pejuang Islam Tanah Melayu Mat Kilau dan Datuk Bahaman yang berguru dengan Tok ku Paloh adalah pengamal Tarekat Naqsyabandiah. 

5. As Syahid Hassan Al Banna dari Ikhwan Muslimin adalah ahli Tarekat aliran Al Ma’thurat.

6. Almarhum Tok Kenali yang berguru dengan Sheikh Ahmad Al Fathani dari aliran Tarekat Syattariah

7. Al Marhum Tokku Paloh dari aliran Tarekat Naqsyabandiah. Tokku Paloh adalah orang yang melindungi Mat Kilau dan Datok Bahaman sewaktu diburu British. Tokku Paloh yang melarikan kedua-dua anak muridnya dan disembunyikan di Hulu Besut.

Mereka ini bukan sekadar menyumbang di dalam perjuangan Islam menentang penjajah, malah mereka juga membangunkan pendidikan Islam serta menghasilkan kitab-kitab ilmu Tauhid, Feqah dan Tasawuf yang menjadi sumber rujukan kepada umat Islam di Nusantara. Antaranya ialah :

1. Sheikh Daud bin Abdullah Al Fathani menghasilkan kitab Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid yang membicarakan ilmu tauhid dari aliran Tarekat Syatariah.

b. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang menulis kitab Risalah Tauhid dan Hidayatus Salikin Fisuluki Maslakil Muttaqin kitab ilmu Tauhid dan Tasawuf; adalah dari aliran Tarekat Samaniah.

3. Sheikh Ahmad Al Fathani yang menulis kitab Faridatul Faraid yang juga kitab ilmu tauhid yang memperjelaskan Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah juga adalah ahli tarekat.

4. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari terkenal dengan sebagai Pengarang Sabilal Muhtadin

Kesimpulannya:

Kita dizaman moden ini, telah dijauhkan dengan istilah tarekat oleh orientalis, malah lebih teruk lagi pihak Barat mengelarkan jemaah tarekat ini sebagai pengganas atau militan. Apatah lagi wujud fahaman Islam yang menyeleweng. Kononnya mereka adalah pejuang kemerdekaan.

Sebaliknya sejarah telah jelas membuktikan fahaman tersebut lahir untuk membantu negara kuffar menjatuhkan empayar Otmaniah yang merupakan sistem kekhalifahan Islam terakhir serta menghalang segala usaha gerakan-gerakan Islam yang cuba membangunkan semula sistem khalifah Islam.

Fahaman inilah yang sering memomok-momokkan umat Islam, bahawa jemaah tarekat adalah bidaah dan menyesatkan, kerana disebalik amalan zikir yang membawa ketenangan hati, disitulah lahirnya rasa kehambaan dan cinta kepada Allah Yang Maha Agung.

Maka terciptalah manusia-manusia yang cintakan syahid dan merindui pertemuan dengan Allah Yang Amat Dicintai, yang mampu berjuang dan berkorban demi keagungan Islam terserlah kembali. Inilah yang amat ditakuti oleh fahaman terseleweng tersebut kerana akan hilang imbuhan menjadi boneka negara kuffar.

Tidak kurang juga, orang yang belajar sedikit-sedikit tentang ilmu tarekat, dan sedar kelebihan ilmu tarekat ini. Mereka mengambil kesempatan dengan memperbodohkan para pengikutnya yang sedia jahil.

Bab dan persoalan ilmu syariat yang menjadi asas kepada perlaksanaan dan pengamalan Fardhu Ain dia abaikan dalam mendidik murid dan pengikutnya, agar dia boleh terus mempunyai para pengikut yang taksub buta yang jahil tentang syariat.

Ini bagi memudahkan dia mempunyai kuasa dan menghimpunkan kepentingan duniawi termasuk mengaku dirinya wali Allah yang dijanjikan. Seandainya para pengikutnya arif dibidang agama khususnya ilmu asas Fardhu Ain, pastinya dia akan kehilangan pengikut. Jadi dia akan berusaha untuk menjauhkan para pengikutnya dari ilmu asas Fardhu Ain, sebaliknya dia sibuk menceritakan hal-hal kerohanian ciptaannya yang kononnya diterima dari Rasulullah dan secara langsung dari Allah. Manusia-manusia durjana sebeginilah yang mendatangkan fitnah ke atas jemaah tarikat yang haq. Nauzubillah minzaliq


Ingin ditegaskan sekali lagi bahawa antara kedua pengertian tarikat yang dibentang tadi, antara keduanya, pengertian yang pertama (mengamalkan syariat secara keseluruhan ) adalah WAJIB, sementara tarikat dari pengertian kedua ( himpunan ayat Al Quran tertentu, zikir-zikir tertentu, selawat dan diamalkan secara berjadual dalam kehisupan harian) adalah SUNAT.

Antara hukum yang WAJIB dan hukum yang SUNAT, tuntutan hukum yang WAJIB adalah lebih utama. Jangan sampai kerana hendak bertarikat dengan pengertian kedua yang kedudukannya SUNAT, lantas kita mengabaikan tarikat dalam pengertian yang pertama yang kedudukannya WAJIB.

Kiasannya, perlaksanaan hokum yang wajib adalah KERJA FULLTIME, sementara pengamalan hukum yang sunat adalah OVER-TIME. Kalau kerja FULL-TIME tak dibuat, layakkah pekerja buat tuntutan kerja OVER-TIME ? Pastinya tidak layak, malah pekerja tersebut layak untuk diambil tindakan tatatertib.

Kerana pengabaian untuk beramal dengan syariat menurut pengertian pertama tadilah maka munculnya fitnah ke atas jemaah-jemaah tarikat yang menurut pengertian kedua. Tetapi ingin ditegaskan juga, seandainya tarekat dari pengertian pertama dan dari pengertian kedua itu dilaksanakan atau diGABUNGkan, maka akan lahirlah manusia yang ingin sentiasa bertaqarrub kepada Allah. Akan lahirlah manusia yang akan menunaikan titah perintah Allah, dalam dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan seterusnya di dalam ummahnya. Insya Allah.


susunan: Cik Puan Ayu Blogz

SYARIAT, TARIKAT, HAKIKAT & MAKRIFAT (BAHAGIAN 1)

Bahagian 1

Setelah seseorang mempelajari syariat, serta mengamalkan hukum syariat bersungguh-sungguh dalam setiap aspek kehidupan ( atau dalam erti kata lain dia telah bersyariat dan bertarikat ). Maka Allah akan campakkan ke dalam dirinya rasa kehambaan dan rasa kesyukuran ke dalam dirinya.Mereka rasa lazat dalam beribadah dan merasa azab dalam melakukan dosa dan kemungkaran

Firman Allah : Hanya orang mukin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Tuhan mereka (Allah) sahajalah mereka menyerah diri.” Al Anfal : 2.

Inilah yang dinamakan HAKIKAT. 
Hakikat ialah gerak rasa hati yang Allah campakkan ke dalam hati hambanya yang bersungguh-sungguh bersyariat dan mengamalkan syariat ( bertarikat ). 

Allah akan hapuskan sifat mazmumah (sifat hati yang terkeji) dalam hatinya dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah (sifat hati yang terpuji ).

Hakikat ini bukan ilmu yang boleh dipelajari, tetapi ianya anugerah Allah ke atas hamba NYA yang bersungguh-sungguh mempelajari, memahami, meyakini ilmu syariat secara ilmiah.serta melaksanakan hukum-hakam NYA (bersyariat dan bertarikat).

Bersesuaian dengan firman Allah : “Orang-orang yang bermujahadah pada jalan KAMI, KAMI tunjukkan jalan KAMI, Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang baik” Al Ankabut : 69.

Maka akan lahirlah manusia yang hatinya terpaut kecintaan kepada Allah. Manusia yang apabila disebut nama Allah, maka akan gementarlah seluruh jasad dan rohaninya. 

Akan lahirlah manusia yang memenuhi tuntutan konsep ibadah secara global yang mampu melaksanakan konsep ibadah menurut Islam yang merangkumi ibadah Asas, ibadah fadailul a’mal ( yang terkandung didalamnya amalan fardhu kifayah ) dan ibadah yang umum. 

Akan lahirlah manusia yang cantik dan anggun akhlaknya sebagaimana memenuhi tuntutan perutusan Rasul ke mukabumi untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Hakikat adalah perasaan rasa hati yang telah Allah campakkan kepada hamba NYA yang berusaha gigih untuk mendekatkan diri kepada NYA. Allah hapuskan sifat mazmumah dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah. Maka lahirlah dan hiduplah manusia itu dengan keadaan yang tenang dan berakhlak mulia, 

Inilah buah kepada pengamalan syariat. Inilah buah kepada iman & dan ibadah kepada Allah. Akhlak terpuji seperti sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”.

Dalam ertikata lain, hakikat adalah buah dari syariat dan tarikat. Atau lebih tepat, hakikat adalah buah kepada pengabdian diri kepada Allah. 

Allah hapuskan sifat mazmumah dalam dirinya dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah. Agar seseorang itu merindui saat beribadah bersama Allah. Dalam erti kata lain, hakikat adalah buah kepada ibadah.
\
Hakikat adalah hasil seseorang beribadah kepada Allah dengan kesungguhan hati. Ianya adalah anugerah Allah SWT. Maka akan lahir rasa takut kepada Allah, rasa tawakal dengan Allah, rasa harap kepada Allah, dan setiap amal perbuatan, perkataan dan gerak hati mereka sentiasa di pautkan kepada Allah. 

Setiap kejadian dan penciptaan alam dihubungkaitkan dengan kekuasaan dan keagungan Allah bagi menambah keimanan kepada Allah. Setiap kejadian musibah dan bala juga dihubungkaitkan dengan kekuasaan Allah dan kelemahan manusia sebagai makhluk bagi menyuburkan sifat sabar dan redha kepada Allah. 

Setiap kejadian nikmat dihubungkaitkan juga dengan kekuasaan Allah dan kelemahan manusia sebagai makhluk bagi menyuburkan rasa kesyukuran dan kehambaan. Disinilah tahap keimanan seseorang telah terserlah. Dia bukan sahaja mengenal Allah dengan akal fikiran melalui ilmu tauhid, tetapi juga secara keyakinan hati. Inilah yang diistilahkan sebagai makrifat

Makrifat ialah keyakinan yang memperkuatkan keimanan kepada Allah setelah menempuh syariat dan tarikat, serta mencapai rasa hakikat

 Orang yang memiliki makrifat inilah yang dinyatakan sebagai orang yang mengenal Allah dengan mata hati, ainul yakin. Orang yang sebeginilah yang diisyaratkan sebagai memiliki sifat yang disebut dalam Al Quran :
Al Anfal : Ayat 2-3 :Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. iaitu orang-orang yang mendirikan sholat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.

Apabila seseorang telah menempuh syariat dan beramal dengan ilmu syariat ( bertarikat ) serta diberi hakikat, maka lahirlah sifat makrifat. Sifat makrifat kepada Allah Taala yang akan memancarkan berbagai perasaan yang baik dan dasar semangat untuk menuju ke arah perbaikan. 

Makrifat ini dapat pula mendidik hati untuk senantiasa menyelidiki dan meneliti mana yang salah dan tercela, malah dapat menumbuhkan kemahuan untuk mencari keluhuran, kemuliaan dan ketinggian budi dan akhlak dan sebaliknya juga menyuruh seseorang supaya menghindarkan dirinya dari amal perbuatan yang hina, rendah dan tidak berharga sedikit pun.


Orang yang telah mencapai tingkatan makrifat , Allah ilhamkan jalan yang mampu membawanya ke arah kecemerlangan agar dia dapat menempuhnya dengan mudah. 

Dia juga akan Allah ilhamkan kepadanya jalan yang membawa kemusnahan agar dapat dia hindari sebagaimana firman Allah :

“Maka Allah ilhamkan kepada jiwa itu, jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang –orang yang mensucikan jiwa (nafsu) nya itu . Dan sesungguhnya merugilah 
(celakalah ) orang yang mengotorinya.” As Syams : 8 – 10.

Orang yang mendapat hakikat dan makrifat, dia akan merasa dirinya sebagai hamba Allah yang hina. Tidak akan terlafaz dari lidahnya bahawa dialah yang paling bertaqwa. Tidak akan terlafaz dari perbuatannya tanda-tanda riak. Tidak terlintas di hatinya bahawa dialah yang paling kuat iman dikalangan manusia dan yang paling banyak amal ibadah dia antara makhluk Allah yang hidup di dunia. 

Seandainya ada di kalangan manusia yang memuji akan keupayaannya beribadah kepada Allah SWT, pujian itu dianggap suatu ancaman yang bakal merosakkan hubungan antara dia dan Allah. Dia akan segera menghentikan puji-pujian tersebut demi menjaga hatinya dengan Allah. 

Inilah sifat orang yang benar-benar memiliki hakikat dan makrifat. Seandainya dia merasa senang dan selesa dengan pujian tersebut , serta tidak menghentikannnya, nyatalah apa yang alami bukanlah hakikat mahupun makrifat, sebaliknya adalah tipu daya syaitan dan nafsu dalam amalannya. Hancur dan binasalah amalan itu kerana ujub

 Orang yang telah beroleh hakikat dan makrifat, tidak sama sekali menceritakan keseronokan bersama Allah kerana ianya adalah rahsia antara orang yang merasa kasih sayang Allah. Ianya juga disebabkan orang yang “sedang asyik bercinta” tidak ada masa untuk menceritakan rasa cinta yang dirasai kepada orang lain. 

Inilah cara membezakan sama ada seseorang yang pada zahirnya cantik akhlaknya, benar-benar telah memiliki hakikat dan makrifat, atau sebenarnya sedang berlakon memiliki hakikat dan makrifat. Atau dalam istilah lain, sedang ujub, atau istilah melayunya syok sendiri.

 Malanglah bagi mereka yang telah menempuh syariat dan tarikat, tetapi merasa ujub dan menyangka diri telah mencapai hakikat dan makrifat. Tertipu dalam beribadah.

Mudah-mudahan penerangan ilmiah ini akan mendorong kita untuk terus mempertingkatkan amalan kita ke arah ketaqwaan.

Susunan: Cik Puan Ayu Blogz

Rabu, 6 Februari 2013

SIAPA AKAN MASUK SYURGA DULU: ORANG BERILMU, PEJUANG, HAJI MABRUR ATAU ORANG KAYA DERMAWAN

Orang Kaya Akan Masuk Syurga Dulu…..

marksbasement-01


KITAB Durratun-Nasihin adalah sebuah kitab tua yang menjadi bacaan utama ulama pondok zaman dahulu untuk ditadah oleh murid-murid mereka. Kitab yang berkonsepkan kepada tasawuf ini merupakan kumpulan hadis yang bertemakan perkara-perkara fadail (kelebihan). Terkandung di dalamnya hadis-hadis yang mencerminkan kelebihan dan keistimewaan berakhlak mulia dan kesucian diri.

Dikatakan bahawa kebanyakan hadis yang terkandung di dalam kitab tersebut adalah daif dan lemah. Namun demikian sesiapa yang membaca dan dapat memahaminya, akan terbentuklah dalam dirinya keperibadian yang mulia dan akhlak terpuji, kerana kandungannya mengarah kepada mensucikan diri, memahamkan dengan mudah gagasan kejadian alam ini dan dapat meyakini konsep ketuhanan secara lebih berkesan.

Itulah sebabnya ulama dan tok guru pondok dahulu amat dihormati dan dimuliakan oleh masyarakat. Mereka mempunyai nilai kehebatan dan karamah. Anugerah ini didatangkan Allah kepada mereka kerana akhlak dan sifat-sifat sufi mereka.

Mungkin ulama dahulu tidak hebat berpidato, kelihatan selekeh dan serebeh, tidak kemas dan tidak bergaya, tidak berpangkat dan tidak bergelar, tetapi namanya menjadi sebutan baik. Dia tidak menjelajah mencari pengaruh dan populariti, tetapi orang ramai dari setiap pelosok datang menemui mereka untuk menimba ilmu dan mendapat keberkatan daripadanya.

Dia juga tidak mementing dan mengutamakan dirinya, tetapi orang ramai yang memberi kedudukan dan mendahulukannya dalam serba perkara sebagai penghormatan dan penghargaan kepada ulama. Dan ulama tidak pernah menagih atau menuntut penghormatan ini.

Adasebuah hadis yang menarik perhatian saya yang terdapat dalam kitab tersebut di bawah bab ilmu. Hadis yang berkenaan saya skripkan seperti berikut:

Di akhirat nanti berlaku dialog di pintu syurga antara malaikat Jibrail dengan Ridhwan yang menjaga syurga. Malaikat Ridhwan terpaksa meminta nasihat daripada Jibrail dalam menyelesaikan masalah empat orang manusia yang beruntung masuk syurga tanpa dihisab. Masing-masing memohon masuk syurga mendahului sahabat-sahabatnya yang lain.

Manusia yang berkenaan ialah pejuang yang syahid, orang kaya yang dermawan, pekerja haji yang mabrur dan seorang alim ulama yang soleh.

Malaikat Ridhwan meminta pertolongan Jibrail bagi menyelesaikan masalah mereka. Jibrail terus menemui mereka dan memanggil seorang demi seorang untuk menyelesaikan perebutan itu.
Pejuang yang syahid itu dengan sikap kepahlawanan dan kesatriaan maju ke depan. Terus saja dia disoal siasat oleh Jibrail.

Jibrail: Kamu pejuang yang mati syahid?
Pejuang: Benar! Saya syahid kerana membela agama.
Jibrail: Syabas, beruntung kamu!

Pejuang: Alhamdulillah, syukur.
Jibrail: Tetapi bagaimana kamu berani sehingga sanggup mati cuma kerana membela agama.

Pejuang: Mahu syahid. Jika menang dapat menyebarkan Islam dan mati terus masuk syurga.
Jibrail: Bagaimana kamu tahu mati membela agama itu syahid dan syahid itu balasannya syurga?
Pejuang: Orang alim memberitahu aku.
Jibrail: Oh, orang alim beritahu.

Pejuang: Begitulah. Saya amat yakin dengan apa yang dia beritahu.
Jibrail: Jika demikian jagalah akhlak kamu. Kamu tidak patut melewati orang alim. Biarlah orang alim masuk syurga mendahului kamu.

Pejuang itu kelihatan malu. Menundukkan kepalanya kerana menyedari ketidaksopanannya mendahulukan dirinya daripada orang alim, sedangkan orang alimlah yang menanamkan semangat juang ke dalam dirinya sehingga dia menjadi seorang pahlawan yang syahid.

Jibrail kemudiannya memanggil haji mabrur yang tiada cacat ibadah hajinya ketika mengerjakan ibadah itu.

Jibrail: Siapa kamu sehingga sanggup berebut-rebut masuk syurga dahulu daripada orang lain?

Haji: Saya seorang haji mabrur. Saya dapat tahu bahawa Nabi berjanji bagi haji mabrur seperti saya ini balasannya masuk syurga. Bukankah begitu?

Jibrail: Memang benar begitu. Tetapi dari mana kamu dapat tahu?
Haji: Guru saya, seorang alim yang soleh.
Jibrail: Kalau begitu jagalah kesopanan kamu. Biarlah guru kamu itu masuk dahulu.

Haji itu juga malu dan insaf, lalu mengundur diri di atas kesilapan yang tidak disedari. Disebabkan oleh sifat tamak, gelojoh dan pentingkan diri, maka dia lupa bahawa sebenarnya ada orang lain yang lebih utama daripadanya.

Kemudian Jibrail memanggil orang kaya yang dermawan.

Jibrail: Kamu juga berebut-rebut mahu masuk syurga mendahului orang lain.
Orang kaya: Memang begitulah kerana syurga itu milik saya.

Jibrail: Mengapa kamu mendakwa demikian?
Orang kaya: Saya orang kaya dan berharta. Harta itu saya peroleh secara halal. Saya bekerja keras dengan penuh amanah. Alhamdulillah, saya dapat kumpul banyak harta.
 

Kemudian harta itu saya belanjakan di jalan Allah. Saya nafkahkan kepada anak isteri, ayah ibu, adik-beradik, keluarga, waris jauh dan dekat serta orang yang memerlukannya. Saya bantu orang miskin, anak-anak yatim, orang tua yang tidak berwaris, bahkan kerajaan pun saya bantu melalui cukai dan zakat.

Jibrail: Dari mana kamu tahu ini semua bahawa orang kaya berharta yang pemurah itu diganjarkan Allah dengan syurga?
Orang kaya: Guru saya, orang alim.

Jibrail: Kalau begitu, orang alimlah yang berjasa kepada kamu sehingga kamu sendiri dididiknya sebagai dermawan.
Orang kaya: Memang benar. Terima kasih saya kepada orang alim.
Jibrail: Jadi, mengapa kamu biarkan orang alim itu di belakang. Biarlah guru kamu itu masuk dulu ke syurga.

Orang kaya: Saya setuju begitu. Biarlah guru saya itu masuk dahulu.
Jibrail: Itulah yang sepatut-patutnya.

Orang kaya itu pun mengundurkan diri. Jibrail kemudiannya memanggil orang alim dan mempersilakan dia ke syurga. Semua yang lain bersetuju mengizinkan orang alim itu mendahului mereka ke syurga. Tetapi kelihatan orang alim itu tidak bercadang demikian. Dia merendahkan diri dengan penuh tawaduk dan mengalah kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Kemudian terus saja dia berucap.

“Maaf sahabat-sahabatku sekalian dan para malaikat yang bijaksana. Memang benarlah saya adalah guru mereka. Tetapi kita harus ingat, saya tidak mungkin dapat mengajar dan mencurahkan ilmu saya kepada mereka jika tidak ada pahlawan yang berjuang dan sedia mati syahid kerana membela keamanan negara. Jasa pahlawan adalah besar kepada kita semua."

“Saya juga tidak akan beroleh pahala yang terus-menerus jika murid saya yang haji mabrur itu tidak mengamalkan ilmu yang saya ajar itu secara benar." 

“Dan saya orang alim, dia pahlawan dan dia haji mabrur tidak dapat menjalankan tugas masing-masing jika tidak ada orang kaya yang dermawan yang bersedia membiayai tentera berangkat ke medan perang, yang menyebabkan negara menjadi aman sehingga memberi kelapangan bagi perjalanan haji, dapat membangun madrasah dan masjid, membina tempat-tempat kebajikan, rumah-rumah orang tua, anak yatim dan lain-lain pembangunan. 

"Semuanya itu tidak mungkin terwujud jika di kalangan masyarakat manusia tidak ada orang kaya dermawan, atau tidak ada orang kaya yang sedar bahawa harta yang dimilikinya itu adalah amanah Allah."

“Oleh yang demikian, biarlah orang kaya lebih dahulu masuk syurga, kemudian pejuang, disusuli pula haji mabrur. Izinkan saya masuk syurga yang paling penghabisan, kerana peranan saya tidak sehebat mereka.”

Akhirnya Jibrail pun membuat keputusan sebagaimana yang dicadangkan oleh orang alim yang berkenaan.

Cerita-cerita yang sebeginilah yang selalu dibaca oleh ulama-ulama pondok dahulu kepada murid-muridnya dengan penuh penghayatan dan kasih sayang. Kerana itulah institusi pengajian pondok dahulu mendapat keberkatan, tetapi tidak sebilangan institusi pondok sekarang.

Susunan : Cik Puan Ayu Blogz

EMPAYAR ISLAM YANG HEBAT

1. EMPAYAR PARSI - PERSIA/ ARYA

 

Empayar Parsi ialah satu siri empayar sejarah yang memerintah penara Iran dan kawasan di seberang sana. Entiti politik yang diperintah oleh kemaharajaan-kemaharajaan ini ialah negara Iran (secara harfiahnya bermaksud “Tanah Arya”). 

Secara amnya, entiti terawal yang dianggap sebagai sebahagian Empayar Parsi ialah Wangsa Achaemenid (648 SM – 330 SM), sebuah kemaharajaan Arya asli bersatu yang berasal dari kawasan yang kini dikenali sebagai Fars dan dibentuk oleh Cyrus Agung. 

Kemaharajaan-kemaharajaan yang berturut-turut di Iran sebelum tahun 1935 telah digelarkan secara kolektif sebagai Empayar Parsi oleh ahli sejarah Barat.

Perkataan Parsi telah lama digunakan oleh dunia Barat untuk memerihalkan negara Iran, penduduk-penduduk, dan empayar-empayar purbanya. Perkataan ini berasal daripada nama Yunani untuk provinsi kelautan Iran yang dipanggil Fars dalam bahasa Parsi moden, Pars dalam bahasa Parsi Zaman Pertengahan dan Pārsā dalam bahasa Parsi Kuno. 


Perkataan itu bermaksud “tiada cacat celanya”. Persis ialah bentuk bahasa Greek untuk Pars, dan melalui perkataan bahasa Latin, Persia, negara-negara Eropah yang lain telah mengikut penggunaan perkataan itu untuk kawasan ini.

Kawasan ini merupakan teras Empayar Parsi yang asal. Kebanyakan orang asing merujuk kepada negara Iran sebagai Persia sehingga 21 Mac 1935 ketika Iran meminta komuniti antarabangsa secara rasmi untuk memanggil negaranya dengan nama asli; puak-puak Arya yang membentuk negara ini pada zaman Achaemenid menyatukan penara di kawasan itu dan memanggil negara mereka sebagai Iran pada penubuhannya. 


Pada tahun 1959, Shah Mohammad Reza Pahlavi mengumumkan bahawa penggunaan nama Parsi dan Iran boleh ditukar ganti.

2. Empayar Macedonia(336BC-323BC)

 

Empayar Macedonia yang sangat ditakuti pada abad ke-3 sebelum masihi. Dengan terajunya iaitu Alexander the Great selepas menggantikan ayahnya, Philip yang meninggal dunia akibat dibunuh, empayar ini telah mengorak langkah dengan agresif menjangkaui imaginasi para pengkritik Alexander.

Alexander yang masih muda belia telah memainkan peranan penting untuk menyakinkan rakyatnya untuk melaksanakan kempen peluasan kuasa bagi menyebarkan pengaruh Helinistik Macedonia. Pada satu ketika, empayar Alexander telah terbentang luas sehingga ke India.

Runtuhnya empayar: Empayar Macedonia mengalami kemerosotan selepas terbunuhnya Alexander semasa peperangan di India. Alexander meninggal dunia di saat umurnya masih muda iaitu 33 tahun. Satu persatu negara di bawah jajahannya mencapai kemerdekaan selepas pemberontakan demi pemberontakan. Sekiranya Alexander memiliki umur yang cukup panjang, kemungkinan empayarnya menjangkaui satu dunia.

KENANGAN DAN TINGGALAN RASULLAH SAW

20071030064307aziz_efendi-muhammad_alayhi_s-salam

Bila kita berjauh jarak dengan yang terkasih Muhammad Rasulullah yang berbentang waktu 1400 tahun bila kita belum pernah melihat wajah sucinya.

Sementara kita menyebut namanya setiap hari, kita menghantarkan salam kepadanya setiap hari melalui solat, selawat dan doa yang kita lantunkan, kita memohon syafaatnya untuk keselamatan kita di akhirat dari pedihnya azab neraka.

Foto-foto ini kebanyakan adalah koleksi yang tersimpan dari berbagai tempat di beberapa negara: Museum Topkapy di Istambul Turki, Jordan, Iraq dan negara-negara Timur Tengah lainnya. Semoga kerinduan kita semakin memuncak kepada Nabi Agung, kekasih Allah.

"Allahumma shalli ‘ala sayyidina wa maulana Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam"


Baju Rasullah SAW
1. Baju Rasullah SAW



2. Jubah Rasulullah

3. Cop mohor Rasulullah

4.Tapak kaki Rasulullah


5. Rambut dan gigi Rasulullah


6. Rambut Rasulullah

 7. Busur dan panah Rasullullah SAW
Semoga paparan tinggalan sejarah ini akan menerbitkan semula rasa cinta yang mendalam pada Rasulullah yang semakin terhakis dikalangan umat Islam pada hari ini. Ingatlah pesanan Rasul didalam khutbahnya yang terakhir,  

“Kamu tidak akan tidak akan tersesat sekiranya berpegang pada 2 perkara iaitu Al Quran dan sunnahku"

Semarakkan cinta dan rindu kita pada junjungan besar kita ini. Jangan sesekali redha keperibadiannya diperkotak katikkan.  Apatah lagi ajarannya cuba disalah ertikan. Masih belum terlambat untuk saya ucapkan Salam Maulidur Rasul buat semua.

9 WALI SONGO DI NUSANTARA


walisongo2


ADA SEMBILAN ULAMA yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di Jawa seterusnya pengembangan dan penyebaran Islam di seluryh Nusantara. Mereka dikenal sebagai “ Wali Songo”
(Sembilan Wali ). Wali Songo mengembangkan agama Islam dari abad ke- 14 hingga abad ke- 16, menjelang dan setelah runtuhnya Kerajaan Majapahit. Dalam kitab abad Tanah Jawi dikatakan bahawa bahawa semasa berdakwah, para wali ini dianggap sebagai ketua kumpulan mubaligh untuk menyebarkan Islam di daerah tertentu.

Selain dikenal sebagai ul;ama, mereka juga berpengaruh besar dalam hal ehwal pemerintahan. Oleh sebab itu mereka digelar “ Sunan"  (susuhan; junjungan ), iaitu gelar yang biasa digunakan untuk raja di Jawa. Bukti kebesaran Wali Songo dapat dilihat daripada peninggalan mereka.Selain itu, makam mereka ramai dikunjungi oleh penziarah kerana dianggap keramat. Wali Songo menyampaikan dakwah Islam melalui cerita wayang atau kesenian lain, sehingga penduduk setempat berasa akrab dan tidak asing dengan ajaran baru yang disampaikan


1. PENDEKATAN BUDAYA


Ketika menyebarkan Islam, Wali Songo menggunakan pelbagai bentuk kesenian tradisional masyarakat setempat dengan menyisipkan nilai Islam ke dalam kesenian tersebut.Oleh sebab itu, usaha mereka tidak dirasakan asing oleh masyarakat dan sangant komunikatif.Usaha ini membuahkan hasil, bukan sahaja mengembangkan agama Islam tetapi juga memperkayakan budaya Jawa.Masyarakat Jawa sangat menggemari kesenian tradisional mereka seperti wayang kulit.Oleh sebab itu, Wali Songo menggunakan kesenian ini sebagai saluran dakwah.

2. BABAD TANAH JAWI

Buku ini memuatkan cerita tentang kebudayaan Jawa yang merupakan campuran antara sejarah, mitos dan kepaercayaan.Di dalamnya terdapat kisah Wali Songo. Dalam babad ini diceritakan bahawa sekumpulan Wali seperti Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Gunung Jati dan Sunan Kudus sering mengadakan pertemuan di Demak. Dalam babad ini pula dijelaskan peranan masing- masing dalam menyebarkan agama Islam di Jawa. Mereka berdakwah di daerah yang penduduknya belum memeluk Islam.

3. RADEN FATAH

Dalam menyebarkan Islam, Wali Songo tidak hanya akrab dengan masyarakat umum tetapi juga dengan pemerintah. Sultan Ampel memainkan peranan semasa merancang kerajaan Islam pertama di Jawa, iaitu kesultanan Demak. Para wali melantik Raden Fatah ( putera Kertabumi Brawijaya ke- 5, raja terakhir Majapahit ) sebagai sultan pertama Kesultanan Demak. Raden Fatah mendapat pendidikan Islam daripada Sunan Bonang.

Sementara dalam menjalankan pemerintahannya, Raden Fatah meminta nasihat Sunan Kalijaga. Di Daerah Cirebon, Sunan Gunung Jati sangat berjasa dalam mendirikan Kesultanan Cirebon dan Kesultanan Banten. Masjid Demak, masjid tertua di Jawa, dibina oleh Wali Songo dan Raden Fatah, pemerintah Kesultanan Demak pada masa itu.

Wali Songo memainkan peranan utama untuk menyebarkan Islam di Jawa, terutama di sepanjang pesisir utara Jawa, mulai dari Gersik di Jawa Timur hingga Cirebon dan Banten di Jawa Barat. Meskipun demikian, wilayah pergunungan juga turut dijelajahi oleh wali itu. Hal ini terbukti daripada apa yang dilakukan oleh Sunan Muria. Beliau dikenal sebagai wali yang selalu berdakwah ke pelosok desa dan wilayah pergunungan di sekitar Gunung Muria, Jawa Tengah. Makamnya pun terletak di daerah pergunungan tersebut.

4. SUNAN AMPEL

Sunan Ampel dikenal sebagai wali yang tidak bersetuju dengan adat istiadat masyarakat Jawa pada masa itu seperti kebiasaan mengadakan jamuan dan kenduri doa selamat. Namun wali lain berpendapat bahawa hal itu tidak dapat dihapuskan dengan segera. Bahkan mereka mengusulkan agar adat istiadat seperti itu diberikan warna Islam. Akhirnya Sunan Ampel menyetujui usul ini, walaupun tetap bimbang bahawa hal ini akan berkembang menjadi bidaah.

5. AMPEL DENTA

Sunan Ampel memulakan dakwahnya dari sebuah pondok pengajian yang dibina di Ampel Denta (berdekatan Surabaya).Oleh sebab itu beliau dikenal sebagai pembina pondok pengajian pertama di Jawa Timur. Sunan Giri, Raden Fatah, Sunan Bonang dan Sunan Drajat ialah murid Sunan Ampel. Di pondok pengajiannya, Sunan Ampel menerima pemuda yang datang dari pelbagai tempat Nusantara untuk mempelajari agama Islam dan menjadi muridnya.

6. SUNAN BONANG

Sunan Bonang menyebarkan agama Islam dengan menyesuaikan diri dengan corak kebudayaan masyarakat Jawa yang mengemari wayang dan muzik gamelan.Untuk itu, beliau mencipta lagu gamelan yang mengandungi nilai keislaman. Setiap bait lagu diselangi dengan ucapan dua kalimah syahadat (syahadatain) sehingga muzik gamelan yang mengiringinya kini dikenal sebagai sekaten.

7. TUBAN

Sunan Bonang pernah mempelajari Islam di Pasai, Aceh.Sekembalinya dari Pasai, beliau memusatkan kegiatan dakwahnya di Tuban dengan mendirikan pondok pengajian agama.Para pelajarnya datang dari segenap penjuru Nusantara. Sunan Bonang yang dilahirkan di Ampel Denta, Surabaya, meninnggal dunia di Tuban pada 1525.

8. SYEIKH MAGHRIBI

Selain dikenal dengan nama Maulana Malik Ibrahim, Sunan Gresik juga dikenal dengan nama Maulana Maghribi (Syeikh Maghribi) kerana beliau dikatakan berasal dari wilayah Maghribi (Afrika Utara). Namun hingga kini tidak diketahui secara pasti sejarah tentang tempat dan tahun kelahirannya.Beliau dikatakan lahir sekitar pertengahan abad ke- 14.Beliau berasal dari keluarga Islam yang taat beragama, dan beliau mempelajari agama Islam sejak kecil, namun tidak diketahui siapa gurunya, hingga beliau kemudiannya menjadi seorang ulama.

9. SUNAN GERSIK

Sunan Gersik diyakini sebagai pelopor penyebaran agama Islam di Jawa.Beliau berdakwah secara intensif dan bijaksana.Sunan Gersik bukan orang Jawa, namun beliau mampu memahami keadaan masyarakat yang dihadapinya dan menerapkan kaedah dakwah yang tepat untuk menarik perhatian masyarakat kepada Islam.Usaha menghilangkan system kasta dalam masyarakat pada masa itu menjadi objek dakwah Sunan Gresik.Cita- cita dan perjuangannya menyebarkan Islam di Jawa kemudian diteruskan oleh anaknya Sunan Ampel.

10. SUNAN GIRI

Sunan Giri ialah putera Maulana Ishak. Nama asalnya Radin Paku. Beliau ditugaskan oleh Sunan Ampel untuk menyebarkan agama Islam di Blambangan.Sunan Giri pernah belajar di Pesantren Ampel Denta. Setelah dewasa, dalam perjalanan menunaikan haji bersama- sama Sunan Bonang, beliau singgah di Pasai untuk mendalami ilmu agama. Sekembalinya ke Jawa, Sunan Giri membina pondok pengajian agama di daerah Giri.Beliau banyak menghantar pendakwah ke Bawean (Madura), bahkan juga ke Lombok, Ternate dan Tidore di Maluku.Makam Sunan Giri atau Raden Paku terletak di Bukit Giri, dekat Gresik, Jawa Timur.

11. SYARIF HIDAYATULLAH

Nama asal Sunan Gunung Jati ialah Syarif Hidayatullah. Beliau merupakan cucu raja Pajajaran yang lahir di Makkah. Setelah dewasa, beliau memilih untuk berdakwah di Jawa. Di Jawa, beliau bertemu bapa saudaranya, Raden Walangsungsang ( Pangeran Cakrabuana). Setelah bapa saudaranya meninggal dunia, beliau menggantikan bapa saudaranya dan Berjaya menjadikan Cirebon sebagai kerajaan Islam pertama di Jawa Barat. Beliau juga merupakan pengasas Kesultanan Banten yang bermula dengan puteranya, Sultan Maulana Hasanuddin. Atas inisiatif Sunan Gunung Jati, Sunda Kelapa diserang  pada 1527 di bawah pimpinan Fatahillah, panglima perang Kesultanan Demak yang juga menantu Sunan Gunung Jati.

12. SUNAN MURIA

Sunan Muria ialah salah seorang Wali Songo yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di kawasan desa. Putera Sunan Kalijaga ini suka menyendiri dan tinggal di desa bersama- sama rakyat biasa. Dalam menyebarkan Islam, Sunan Muria selalu menjadikan desa terpencil sebagai tempat dakwahnya.

13. SINOM DAN KINANTI

Seperti para Wali Songo yang lain, Sunan Muria juga menggunakan kesenian sebagai cara berdakwah. Dua puisi yang diciptanya dan sangat terkenal ialah puisi Sinom dan Kinanti.Puisi Sinom umumnya menggambarkan suasana ramah- tamah dan mengandungi nasihat. Puisi Kinanti pula bernada gembira dan digunakan untuk menyampaikan ajaran agama, nasihat dan falsafah hidup.

14. SUNAN DRAJAT

Sunan Drajat dikenal sebagai seorang wali yang berjiwa sosial tinggi. Beliau banyak memberikan pertolongan kepada yatim- piatu, fakir miskin, orang sakit dan orang susah. Perhatiannya yang besar terhadap masalah sosial sangat tepat pada masa itu kerana beliau hidup pada masa keruntuhan Kerajaan Majapahit  (sekitar 1478).  Rakyat pada ketika itu dalam keadaan kacau bilau dan menyedihkan. Sunan Drajat juga menggunakan media kesenian semasa berdakwah. Beliau mencipta puisi Jawa yang hingga kini masih digemari, iaitu Puisi Pangkur.

15. SUNAN KUDUS

Sunan Kudus atau Jaafar Sadiq digelar wali al- “ilmi (orang berilmu luas) oleh para wali songo kerana mempunyai keahliankhusus dalam bidang agama. Oleh sebab keahliannya itu, beliau banyak dikunjungi oleh para penuntut dari pelbagai wilayah.Beliau juga diamanahkan untuk mengendalikan pemerintahan di daerah Kudus.Beliau menjadi pemimpin agama dan juga pemimpin pemerintah di wilayah itu.

16. MASJID MENARA KUDUS

Sebagai permulaan untuk menyebarkan Islam, Sunan Kudus membina sebuah masjid di daerah Loran pada 1549. Masjid itu diberi nama Masjid al- Aqsa atau al- Manar. Wilayah sekitarnya disebut Kudus, nama yang diambil daripada nama kota al- Quds (Baitulmuqaddis di Palestin) yang pernah dikunjunginya. Masjid itu kemudian dikenal dengan nama Masjid Menara Kudus kerana di sebelahnya terdapat menara tempat beduk masjid. Masjid yang dibina oleh Sunan Kudus ini juga merupakan salah satu masjid tertua di Indonesia.

17. SUNAN KALIJAGA


Sunan Kalijaga berasal daripada suku Jawa asli. Beliau berdakwah dengan cara berkelana. Dengan wawasan yang luas dan pemikiran yang tajam, Sunan Kalijaga tidak hanya disukai oleh rakyat, tetapi juga oleh cendekiawan dan pemerintah. Raden Fatah dari Kesultanan Demak sering kali meminta nasihatnya.

18. DANDANGGULA

Sunan Kalijaga juga dikenal sebagai budayawan dan seniman (seni suara, ukir dan busana). Beliau mencipta aneka cerita wayang yang berunsur Islam, Sunan Kalijaga memperkenalkan sejenis wayang yang diperbuat daripada kulit kambing (wayang kulit), kerana pada masa itu wayang selalunya dilukis pada seperti kertas lebar ( wayang beber ). Dalam seni suara, beliau ialah pencipta lagu Dandanggula. Sebahagian dari lirik lagu Dandanggula ciptaan Sunan Kalijaga ialah tentang rukun iman.

 Susunan : Cik Puan Ayu Blogz