Khamis, 14 Februari 2013

POLIGAMI 2



Poligami halal dan jangan sesekali cuba untuk mengharamkannya. Apa yang jelasnya, poligami satu sunnah Rasul yang paling di sukai oleh para suami. 

Islam mengharuskan seorang lelaki berkahwin lebih daripada seorang untuk menambahkan zuriat dan mengelakkan daripadanya berlaku perbuatan maksiat. 

Had untuk seorang suami menambahkan bilangan isteri hanya empat orang saja. Firman Allah S.W.T (Surah an-Nisa’: Ayat 3)

Maksudnya: "Maka kahwinlah mana-mana perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat orang. Jika kamu takut tidak berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja…."

Bagaimana poligami berlaku sedangkan si isteri tidak ada kekurangan? 

Sekiranya perhubungan berlaku atas sebab tertarik dengan si dia (kerana cantik dan muda) atau simpati kerana masih belum berpunya (Andalusia) dan adakah si suami akan dikategorikan sebagai curang (kerana menurut nafsu) dan pihak si dia sebagai perampas suami orang? 

Apakah sebab yang kukuh membolehkan poligami? Adakah persetujuan perlu dari pihak isteri dan sekiranya isteri masih berkeras tidak dapat menerima, nak buat macamana?
 
Sesungguhnya Islam mengharuskan POLIGAMI, mereka yang dapat melaksanakan tuntutan keadilan dalam poligami mendapat pengiktirafan mengikut / turut sunnah Nabi dan mendapat pahala yang sangat besar di sisi Allah. 

Sebaliknya bagi mereka yang tidak berkemampuan tetapi berpoligami hanya kerana hawa nafsu semata-mata (jauh sekali menganggapnya ibadah (perhambaan total kepada Allah). 

Maka haram hukumnya berpoligami kerana ianya akan membawa kesengasaraan banyak pihak dan menjadi fitnah kepada keindahan hikmah poligami di sisi Islam. 

Poligami di sisi Islam, tidak pernah lahir mereka yang dianggap sebagai curang dan perampas suami orang. 

Sekiranya perkara ini timbul adalah berkemungkinan ia akibat pengamal poligami itu sendiri telah gagal melaksanakan tuntutan poligami di sisi Islam. 

Untuk mempastikan semua pihak menikmati keindahan poligami tanpa rasa curiga dengan Hukum keharusan yang Allah tetapkan, seharusnya mereka yang terlibat mempastikan terlebih dahulu matlamat kehidupan diri sendiri hendaklah selari dengan tuntutan kehidupan di sisi Allah, matlamat berkeluarga juga selari dengan matlamat kekeluargaan dalam Islam begitu juga matlamat berpoligami. 

Seterunya pastikan mereka beramal dengan segala tuntutan yang telah di tetapkan oleh Allah. Penyelesaian terbaik kepada segala masalah ada dalam Islam. 

Kebenaran berpoligami bukanlah satu peluang yang baik kepada kaum lelaki tetapi merupakan satu tanggungjawab yang besar sekiranya diamalkan. Seseorang yang hendak berpoligami hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak supaya perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku. 

Poligami yang diamalkan dengan baik dan mengikut syariat Allah akan mendapat berkat dan bahagia di dunia dan di akhirat. 

Poligami yang mengikut hawa nafsu akan dilaknat dan dimurkai oleh Allah. 

Lelaki yang hendak berpoligami mestilah beriman dan taat kepada perintah Allah. Lelaki yang beragama akan menghayati  konsep poligami yang sebenar dan mengamalkannya terhadap isteri-isterinya.
  • Lelaki tersebut hendaklah berlaku adil terhadap isteri-isterinya, sama ada mengenai nafkah zahir atau nafkah batin. 
  • Lelaki tersebut mestilah mempunyai tubuh badan yang sihat supaya dapat menyempurnakan segala tanggungjawab terhadap isteri-isteri dan anak-anaknya.
  • Hendaklah mempunyai sumber kewangan yang cukup dan teguh untuk menampung keperluan isteri-isteri dan anak-anaknya. Sumber kewangan yang tidak cukup akan membawa kesan yang tidak baik kepada sesebuah keluarga.
Sabda Rasulullah S.A.W ( Riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi )
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W telah bersabda, sesiapa yang mempunyai dua orang isteri lalu memberi kepada seorang daripada kedua-duanya, dia akan dibangkitkan di hari kiamat kelak dengan bahunya berat sebelah. 

Akibat poligami yang tidak mengikut syariat Allah, menimbulkan permusuhan dalam keluarga khususnya terhadap isteri-isterinya.
  • Menimbulkan masalah kepada anak-anak yang tidak cukup perbelanjaan dan memaksa mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik.
  • Pembawa kepada penganiayaan terhadap kaum wanita.
  • Mewujudkan masyarakat yang tidak aman.
 Sabda Rasulullah S.A.W (Riwayat Aby Daud,Tarmizi, Nasai Ibnu Majah) Maksudnya : Daripada Aisyah r.a telah berkata: 

"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W membahagikan giliran sesama isterinya dengan adil dan baginda berdoa: ” Ya Allah! Ini bahagian aku yang dapat aku laksanakan kerana itu janganlah Engkau cela aku tentang apa-apa yang Engkau kuasai sedangkan takut tidak menguasainya “. Berkata Abu Daud : maksudnya ialah ‘hati’."

Susunan semula: Cik Puan Ayu Blogz

POLIGAMI 1

POLIGAMI

Poligami antara tanggungjawab sosial, keinginan lelaki dan keresahan wanita.

Poligami sebenarnya merupakan punca keresahan kepada isteri pertama lebih daripada merupakan masalah wanita keseluruhannya. Dari kenyataannya, wanita secara umum perlukan kepada poligami sebagaimana lelaki namun sebab sahaja yang berbeza.

Suami yang berkeinginan kuat, memerlukan lebih dari seorang isteri. Wanita yang lemah memerlukan perlindungan – bilangan mereka ini ramai – perlukan kepada suami. Tidak semua keadaan atau bukanlah keadilan mutlak kalau kita berpegang kepada kaedah ‘satu lelaki untuk satu perempuan’. Sebaliknya ia akan menyebabkan kepincangan dalam masyarakat. “Ustaz tolong cakap kepada suami saya…" Begitulah bunyinya seorang isteri memulakan luahannya apabila suami ingin ‘pasang cawangan’.  

“Dia tidak mampu, apa yang saya tahu –saya isterinya – dia tidak boleh berlaku adil. Bukan saya tidak setuju….”, luahnya lagi.Beginilah detik-detik kehidupan seorang isteri yang ingin dimadukan. Perasaan sedih, kecewa, celaru bercampur-baur, mengakibatkan bak kata pepatah, “mandi tak basah, tidur tak lena dan makan tak kenyang” seolah-olah seluruh dunia memusuhinya.  

Sebaliknya pula pengakuan suami. “Saya bahagia dengan isteri saya, kami tidak ada masalah, cuma saya rasa nakkan satu lagi.”Saya percaya saya boleh beri keadilan kepada isteri saya kalau saya berpoligami. Isteri saya Insya Allah boleh terima keadaan ini”.

Bukan kerana cantik. Kalau nak lihat pada kecantikan isteri saya yang pertama pun lagi cun…”.Keinginan yang melonjak-lonjak sukar ditafsirkan. Tetapi itulah hakikatnya. Ucapan suami yang berkobar-kobar dan keresahan isteri yang berdebar-debar  

Punca Apa yang perlu dikaji ialah, apakah punca kepada keresahan isteri pertama itu sebenarnya? Dari pengamatan penulis ada beberapa punca yang menyebabkan perkara itu berlaku: 

1. Ia kadangkala berpunca daripada sikap wanita itu sendiri yang pentingkan diri sendiri   (isteri pertama), sukar untuk bertolak ansur, dan sukar menerima hakikat ia sudah berkongsi tongkat. 
2. Kadang-kadang berpunca dari sikap lelaki yang bersikap ‘habis madu sepah dibuang’ dan 
    senang melihat penderitaan isteri yang dimadukan. 
3. Kadang kala berpunca daripada masyarakat yang memandang serong kepada poligami, 
    sehingga menganggap isteri tua tidak pandai menjaga suami dan sebagainya. 
4. Serta tidak kurang juga masalah datang daripada isteri kedua yang tamak dan tidak sedarkan 
   diri. Setelah mengambil suami orang dia berusaha merampasnya terus.

Keempat-empat punca ini, adalah penafsiran sebenar kepada keresahan untuk menerima hakikat bermadu oleh isteri pertama. Ia bukan disebabkan oleh poligami itu sendiri. Poligami membawa kebaikan kepada masyarakat dan keluarga jika ia dilaksanakan dengan menepati kehendak hukum Islam. Sistem Islam yang amat adil ini dicemari oleh perbuatan manusia sehingga poligami dilihat negatif oleh banyak kelompok masyarakat. Jika sekiranya manusia lelaki dan wanita bersikap adil (adil bukan hanya sifat lelaki) poligami akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang sedang dihadapi oleh manusia kini.

Kesedaran Sosial Penulis ingin mengajak isteri-isteri untuk merenung nasib kaum sejenis dengannya. Siapakah yang lebih halus perasaannya untuk merasa belas kasihan kepada kaum wanita yang tidak bernasib baik, kalau isteri pertama hanya mementingkan diri dan mengatakan jangan kacau suami saya, maka siapa yang akan selamatkan mereka? 

Kalau begitu wanita adalah mereka yang paling tidak sensitif dengan isu wanita dan amat mementingkan diri sendiri. ” Kalau nak kawin dengan anak dara tua oklah juga atau selamatkan janda yang tidak terbela…..ini tidak, nak cari anak dara, berkelulusan tinggi ada profesion dan kadang kala tidak pentingkan agama….ada potensi boleh didik dakwanya. 

Mana tanggungjawab sosial di sini? Saya nampak tak ada lain kecuali nafsu”.Ya, kenyataan itu ada benarnya, namun tanggungjawab sosial tidak terhenti kepada masalah yang disebutkan. Mengelakkan berlaku perzinaan dan hubungan sumbang juga adalah suatu tanggung jawab sosial.
Suami ada sebab tersendiri yang diterima syariat untuk melepaskan keghairahannya dengan cara berpoligami. 

Kepada isteri kedua hendaklah berterima kasih kepada isteri pertama. Hormatilah mereka sebagaimana sepatutnya. “….Dulu saya yang carikan untuknya isteri, sampai hati dia sanggup meninggalkan saya” .Jagalah lidah daripada ucapan menghasut, dan usaha untuk control suami. ” Saya tidak suka dengan perempuan gila tu..tak tahu jaga laki !!!

"Islam melarang isteri yang bermadu bertindak demikian. Hadapilah sikap mementingkan diri sendiri dengan mujahadah. Sebaliknya berilah dorongan kepada suami agar bersegera ke rumah isteri pertama. “Abang kalau balik sana , kirim salam pada kakak ya!”

Kekang keinginan dengan perasaan tanggungjawab. 

“Masa mula-mula kahwin dulu dia balik setiap dua hari tetapi sekarang ada saja alasannya”.“Kalau yang sana tu telefon cepat-cepat dia balik, kadang-kadang nak minum air bersama anak-anak pun tak sempat”.Selepas beberapa bulan dari berpoligami kenyataan perit bermula. 

Perahu kini sudah tidak berkemudi lagi. Lajak sudah tidak boleh diundur dan nasib isteri pertama sukar diramalkan. Rasa tanggungjawab mula nipis dan ikrar keadilan mula dilupakan. Suami mula menghadapi dunia baru yang tidak dijangka sebelum ini.

 “Macam mana selepas buka cawangan?”  

“Perempuan, perempuan juga. Kalau belum mula tu…. tak payahlah”.Oleh kerana menyedari akan ragam manusia ini Islam meletakkan panduan yang lengkap yang perlu di ikuti oleh pasangan yang ingin berpoligami. Naluri keinginan lelaki seharusnya dihalakan untuk memenuhi tuntutan sosial seperti berikut;  
1. Kemandulan: 
Isteri tidak mampu melahirkan zuriat untuk si suami. Islam mengharuskan suami untuk berpoligami sebagai satu usaha untuk memperolehi zuriat sendiri.
  1. Penyakit: Isteri mengidap penyakit yang menghalang si suami untuk menikmati kehidupan rumahtangga secara sempurna, kerana isteri gagal memberi layanan yang sewajarnya kepada suami, Islam mengizinkan suami untuk berpoligami sebagai satu ganjaran terhadap kesabaran suami yang sanggup menjaga dan menanggung isteri yang berpenyakit. 
  2. Nafsu: Suami memiliki keupayaan seksual yang luarbiasa dan tidak mampu ditampung oleh seorang isteri, apatah lagi sekiranya si isteri berada dalam haid dan nifas. Islam mengharuskan suami berpoligami untuk memelihara kesucian agama dari terjebak ke lembah maksiat. 
  3. Pertambahan bilangan MJ janda, MB balu dan MA andartu: Bertambah bilangan kumpulan di atas secara tidak langsung menambahkan bebanan sosial dan mempengaruhi kerosakan akhlak di kalangan masyarakat. Keadaan ini mendorong sesiapa yang berjiwa mulia untuk berpoligami dengan niat memelihara kehormatan dan kemulian kaum wanita. 
  4. Musafir: Para suami yang banyak bermusafir keluar negara dalam tempoh yang agak lama diatas urusan tertentu juga adalah antara faktor yang membolehkan lelaki untuk berpoligami. Kerana dengan itu ia dapat mengelak dari terjebak kepada dosa dan zina.
  5. Pertambahan bilangan perempuan: Perkara ini berlaku disebabkan kematian ramai kaum lelaki. Keadaan ini juga adalah antara sebab sosial yang mengharuskan poligami.
Syarat-syarat poligami
Ada beberapa syarat yang ditetapkan kepada lelaki yang ingin berpoligami. Antaranya ialah:
  1.  Ada keinginan daripada pihak lelaki 
  2.  Tidak boleh melebihi empat orang. Islam menghadkan poligami hanya kepada empat orang sahaja.
  3. Mampu berlaku adil. Keadilan meliputi perkara-perkara berkaitan tempat tinggal, nafkah, makan pakai dan tidak termasuk hal-hal yang berkaitan dengan hati dan kecenderungan perasaan. Jika keadilan gagal dipenuhi Islam tidak mengizinkan lelaki berkahwin lebih daripada satu. 
Hukum berpoligami.     
Wajib apabila dibimbangi membawa kepada zina dan maksiat
  1. Harus, bila suami berkemampuan dan berkeinginan untuk berpoligami
  2. Haram, apabila tidak mampu menunaikan hak yang sepatutnya kepada isteri-isterinya.
  3. Makruh, apabila suami gagal menunaikan beberapa hak isterinya dan dengan keredaan isteri 
Apakah poligami harus digalak atau harus dihindari terserahlah kepada penilaian suami yang bijaksana. 

Susunan semula: Cik Puan Ayu Blogz

Hadis 40 - Imam Nawawi - Koleksi Hadis Ke 36 hingga Hadis Ke 40

Hadis Ke 36 :


Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW, dari Nabi SAW, yang bersabda : 

"Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa yang meringankan penderitaan seorang yang susah, nescaya Allah akan meringankan penderitaan dirinya di dunia dan di akhirat."

"Barangsiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di akhirat. Dan Allah selalu menolong hamba-Nya, selagi hamba-Nya berusaha menolong saudaranya. Barangsiapa yang menuju satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan memudahkan suatu jalan baginya ke syurga. Dan tidak berhimpun suatu kelompok manusia dalam suatu rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca Kitabullah dan mempelajarainya antara sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas perhimpunan mereka ketenteraman, diliputi oleh rahmat, di kelilingi oleh para Malaikat dan disebut Allah kepada sesiapa yang di sisi-Nya. Sesiapa yang dilengahkan oleh amalannya maka tidak akan dipercepatkan oleh keturunannya."

Hadis Ke 37 :


Dari Ibn Abbas r.a dari Rasulullah SAW yang meriwayatkan hadis ini daripada Tuhannya Tabaraka Wa Ta’ala, katanya : 

"Sesungguhnya Allah telah menetapkan yang baik dan yang jahat, dan telah menerangkan keduanya itu. Maka barangsiapa yang bercita kepada kebaikan, kemudian ia tidak mengerjakannya – Allah akan mencatit disisinya satu hasanah yang sempurna. Dan jika ia melaksanakan, nescaya Allah akan mencatitkan di sisi-Nya sepuluh hasanah hingga tujuh ratus kali lipat ganda dan hingga sampai beberapa kali ganda banyaknya."

"Dan jika ia bercita-cita mengerjakan sesuatu kejahatan kemudian tidak dilakukannya, Allah akan mencatitkan di sisi-Nya satu hasanah yang sempurna. Jika ia meneruskan cita-citanya yang jahat itu dan melakukannya, Allah akan mencatitkan baginya satu kejahatan sahaja."
Riwayat Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih keduanya. 

Hadis Ke 38 :


Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :  
" Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman : Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia padaku), maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Ku fardhukan ke atas dirinya."

"Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil ( badat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai pengelihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan sekiranya ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan sekiranya ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi ia.”


Hadis Ke 39 :


Dari Ibn Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : 

"Sesungguhnya Allah memaafkan bagiku daripada umatku segala perbuatan dari kesilapan dan kelupaan dan segala yang dipaksa ke atas diri mereka.”


Hadis Ke 40 :


Dari Ibn Umar r.a., katanya : Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : 

" Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. Maka Ibn Umar berkata : “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati."


Susunan: Cik Puan Ayu Blogz

Hadis 40 - Imam Nawawi - Koleksi Hadis Ke 31 hingga Hadis Ke 35

Hadis Ke 31 :

Dari Abu Abbas, Sahil bin Saad As-Sa’idd r.a, berkata :

" Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya : Ya Rasulullah, tunjukkan aku suatu amalan, sekiranya aku buat, nescaya aku dicintai oleh Allah dan orang ramai."

"Maka dijawab Nabi : ‘ Hendaklah zahid di dunia, nescaya engkau dicintai oleh Allah dan engkau zahid pada apa yang ada di sisi manusia, maka nescaya engkau dicintai oleh orang ramai."


Hadis Ke 32 :

Dari Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan Al-Khudri r.a. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda : 

"Tiada mudharat dan tiada memudharatkan" 


Hadis Ke 33:


Dari Ibn Abbas r.a bahawa Nabi SAW pernah bersabda : 

"Jika dilayankan setiap orang dengan tuntutannya, nescaya ada orang yang menuntut harta benda orang lain dan ada pula yang menuntut darahnya. Akan tetapi yang menuntut itu harus menbawa saksi, manakala yang memungkiri harus bersumpah."

Hadis Ke 34 :


Dari Abi Said Al-Khudri r.a. katanya :  Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya (nasihatnya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya ( tidak meredhai perbuatan tersebut ). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman."

Hadis Ke 35 :

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :  Telah bersabda Rasulullah SAW :

"Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan jangan kamu tipu-menipu, dan jangan benci-membenci, dan jangan musuh memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain, dan jadilah kamu sekelian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."

"Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu berpunca dari sini – sambil Nabi SAW menunjukkan ke dadanya tiga kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya." 



Susunan: Cik Puan Ayu Blogz



Jumaat, 8 Februari 2013

SYARIAT, TARIKAT, HAKIKAT & MAKRIFAT (BAHAGIAN 2)

Bahagian 2

Bagi mereka yang berusaha bersungguh-sungguh mengamalkan dan melaksanakan hukum syariat, inilah yang dinamakan TARIKAT atau disebut dalam bahasa arab ialah TAREKAH. Tarikat dari segi bahasa ialah jalan. Ingin diulang lagi agar lebih jelas.

Apabila seseorang telah mempelajari, memahami dan meyakini ilmu syariat, lalu dia meLAKSANAKAN atau BERAMAL dengan ilmu syariat tersebut, maka itulah yang diertikan dengan TARIKAT. Melaksanakan atau beramal dengan syariat. Oleh itu apabila seseorang menjalankan atau melaksanakan hokum syariat dengan bersungguh-sungguh, setiap suruhan Allah sama ada yang wajib dan yang sunat dilaksanakan sungguh-sungguh.

Setiap larangan Allah sama ada yang haram atau yang makruh ditinggalkan sungguh-sungguh. Maka mereka telah dikatakan telah BERTARIKAT.

Contohnya : Ahmad telah ke madrasah dan mempelajari cara sembahyang. Dia telah mempelajari rukun sembahyang, syarat wajib sembahyang, perkara yang sunat dilakukan dalam sembahyang, syarat sah sembahyang dan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang. Setelah dia mempelajari dan memahami ilmu tersebut, dia pun beramal dengan ilmunya untuk menunaikan sembahyang. Maka Ahmad telah dikatakan telah berTARIKAT di bidang sembahyang.


Tarikat pada erti kata yang pertama ini hukumnya adalah WAJIB. Inilah jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat serta tabiin dan orang dizaman salafussoleh. Jalan inilah juga yang patut kita lalui, iaitu jalan yang menjadikan kita melaksanakan segala perintah yang disuruh Allah dan meninggalkan perintah yang dilarang oleh Allah. Inilah perkara yang wajib kita lakukan sebagai makhluk yang dicipta Allah dan mahu menjadi hamba kepada Allah Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.


Adapun Tarikat dari istilah yang kedua, ialah apabila seseorang menyusun ayat-ayat Al Quran tertentu, zikir-zikir tertentu, salawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan diamalkan secara berjadual dalam kehidupan sehari-harian. Tarikat yang diertikan disini hokum asalnya hanyalah SUNAT.

 Dari sinilah lahir jemaah-jemaah zikir atau dipanggil orang sebagai jemaah tarikat. Antara jemaah zikir atau jemaah tarekat yang kita sering dengar ialah Tarikat Ahmadiah, Tarikat Naqsyabandiah, Tarikat Samaniah, Tarikat Syazaliah, Tarikat Kadiriah, Aurad Muhammadiah dan lain-lain lagi.

Jadi termasuk jugalah di dalam kategori ini ialah pengamalan Al Ma’thurat. Tujuan mereka menghimpun dan beramal adalah untuk mendidik diri untuk berdisiplin dalam beramal dengan ketiga-tiga juzuk ilmu Islam iaitu Tauhid, Feqah & Tasawuf.

Secara tak langsung memberi kekuatan jiwa tambahan untuk beramal dengan hukum syariat secara keseluruhan, dalam kehidupan sehari-hari. Sama ada dalam diri, dalam keluarga, dalam masyarakat hingga ke peringkat negara. Sebab itu jika disingkap lembaran sejarah, tunggak perjuangan sesuatu gerakan Islam adalah disokong oleh jemaah zikir atau tarekat.

1. Sultan Muhammad Al Fateh, sultan yang berjaya menawan Kota Konstantinopel dan pengasas Kekhalifahan Othmaniah adalah ahli zikir / ahli tarekat.


2. Begitu juga As Syahid Omar Mokhtar pejuang terakhir Gerakan Sanusi yang merupakan benteng pertahanan terakhir khalifah Otmaniah adalah pengamal Tarekat As Sanussiah.

3. Imam Bonjol di Aceh yang menentang penjajahan Belanda adalah ahli Tarekat Naqsyabandiah.

4. Pejuang Islam Tanah Melayu Mat Kilau dan Datuk Bahaman yang berguru dengan Tok ku Paloh adalah pengamal Tarekat Naqsyabandiah. 

5. As Syahid Hassan Al Banna dari Ikhwan Muslimin adalah ahli Tarekat aliran Al Ma’thurat.

6. Almarhum Tok Kenali yang berguru dengan Sheikh Ahmad Al Fathani dari aliran Tarekat Syattariah

7. Al Marhum Tokku Paloh dari aliran Tarekat Naqsyabandiah. Tokku Paloh adalah orang yang melindungi Mat Kilau dan Datok Bahaman sewaktu diburu British. Tokku Paloh yang melarikan kedua-dua anak muridnya dan disembunyikan di Hulu Besut.

Mereka ini bukan sekadar menyumbang di dalam perjuangan Islam menentang penjajah, malah mereka juga membangunkan pendidikan Islam serta menghasilkan kitab-kitab ilmu Tauhid, Feqah dan Tasawuf yang menjadi sumber rujukan kepada umat Islam di Nusantara. Antaranya ialah :

1. Sheikh Daud bin Abdullah Al Fathani menghasilkan kitab Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid yang membicarakan ilmu tauhid dari aliran Tarekat Syatariah.

b. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang menulis kitab Risalah Tauhid dan Hidayatus Salikin Fisuluki Maslakil Muttaqin kitab ilmu Tauhid dan Tasawuf; adalah dari aliran Tarekat Samaniah.

3. Sheikh Ahmad Al Fathani yang menulis kitab Faridatul Faraid yang juga kitab ilmu tauhid yang memperjelaskan Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah juga adalah ahli tarekat.

4. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari terkenal dengan sebagai Pengarang Sabilal Muhtadin

Kesimpulannya:

Kita dizaman moden ini, telah dijauhkan dengan istilah tarekat oleh orientalis, malah lebih teruk lagi pihak Barat mengelarkan jemaah tarekat ini sebagai pengganas atau militan. Apatah lagi wujud fahaman Islam yang menyeleweng. Kononnya mereka adalah pejuang kemerdekaan.

Sebaliknya sejarah telah jelas membuktikan fahaman tersebut lahir untuk membantu negara kuffar menjatuhkan empayar Otmaniah yang merupakan sistem kekhalifahan Islam terakhir serta menghalang segala usaha gerakan-gerakan Islam yang cuba membangunkan semula sistem khalifah Islam.

Fahaman inilah yang sering memomok-momokkan umat Islam, bahawa jemaah tarekat adalah bidaah dan menyesatkan, kerana disebalik amalan zikir yang membawa ketenangan hati, disitulah lahirnya rasa kehambaan dan cinta kepada Allah Yang Maha Agung.

Maka terciptalah manusia-manusia yang cintakan syahid dan merindui pertemuan dengan Allah Yang Amat Dicintai, yang mampu berjuang dan berkorban demi keagungan Islam terserlah kembali. Inilah yang amat ditakuti oleh fahaman terseleweng tersebut kerana akan hilang imbuhan menjadi boneka negara kuffar.

Tidak kurang juga, orang yang belajar sedikit-sedikit tentang ilmu tarekat, dan sedar kelebihan ilmu tarekat ini. Mereka mengambil kesempatan dengan memperbodohkan para pengikutnya yang sedia jahil.

Bab dan persoalan ilmu syariat yang menjadi asas kepada perlaksanaan dan pengamalan Fardhu Ain dia abaikan dalam mendidik murid dan pengikutnya, agar dia boleh terus mempunyai para pengikut yang taksub buta yang jahil tentang syariat.

Ini bagi memudahkan dia mempunyai kuasa dan menghimpunkan kepentingan duniawi termasuk mengaku dirinya wali Allah yang dijanjikan. Seandainya para pengikutnya arif dibidang agama khususnya ilmu asas Fardhu Ain, pastinya dia akan kehilangan pengikut. Jadi dia akan berusaha untuk menjauhkan para pengikutnya dari ilmu asas Fardhu Ain, sebaliknya dia sibuk menceritakan hal-hal kerohanian ciptaannya yang kononnya diterima dari Rasulullah dan secara langsung dari Allah. Manusia-manusia durjana sebeginilah yang mendatangkan fitnah ke atas jemaah tarikat yang haq. Nauzubillah minzaliq


Ingin ditegaskan sekali lagi bahawa antara kedua pengertian tarikat yang dibentang tadi, antara keduanya, pengertian yang pertama (mengamalkan syariat secara keseluruhan ) adalah WAJIB, sementara tarikat dari pengertian kedua ( himpunan ayat Al Quran tertentu, zikir-zikir tertentu, selawat dan diamalkan secara berjadual dalam kehisupan harian) adalah SUNAT.

Antara hukum yang WAJIB dan hukum yang SUNAT, tuntutan hukum yang WAJIB adalah lebih utama. Jangan sampai kerana hendak bertarikat dengan pengertian kedua yang kedudukannya SUNAT, lantas kita mengabaikan tarikat dalam pengertian yang pertama yang kedudukannya WAJIB.

Kiasannya, perlaksanaan hokum yang wajib adalah KERJA FULLTIME, sementara pengamalan hukum yang sunat adalah OVER-TIME. Kalau kerja FULL-TIME tak dibuat, layakkah pekerja buat tuntutan kerja OVER-TIME ? Pastinya tidak layak, malah pekerja tersebut layak untuk diambil tindakan tatatertib.

Kerana pengabaian untuk beramal dengan syariat menurut pengertian pertama tadilah maka munculnya fitnah ke atas jemaah-jemaah tarikat yang menurut pengertian kedua. Tetapi ingin ditegaskan juga, seandainya tarekat dari pengertian pertama dan dari pengertian kedua itu dilaksanakan atau diGABUNGkan, maka akan lahirlah manusia yang ingin sentiasa bertaqarrub kepada Allah. Akan lahirlah manusia yang akan menunaikan titah perintah Allah, dalam dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan seterusnya di dalam ummahnya. Insya Allah.


susunan: Cik Puan Ayu Blogz

SYARIAT, TARIKAT, HAKIKAT & MAKRIFAT (BAHAGIAN 1)

Bahagian 1

Setelah seseorang mempelajari syariat, serta mengamalkan hukum syariat bersungguh-sungguh dalam setiap aspek kehidupan ( atau dalam erti kata lain dia telah bersyariat dan bertarikat ). Maka Allah akan campakkan ke dalam dirinya rasa kehambaan dan rasa kesyukuran ke dalam dirinya.Mereka rasa lazat dalam beribadah dan merasa azab dalam melakukan dosa dan kemungkaran

Firman Allah : Hanya orang mukin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Tuhan mereka (Allah) sahajalah mereka menyerah diri.” Al Anfal : 2.

Inilah yang dinamakan HAKIKAT. 
Hakikat ialah gerak rasa hati yang Allah campakkan ke dalam hati hambanya yang bersungguh-sungguh bersyariat dan mengamalkan syariat ( bertarikat ). 

Allah akan hapuskan sifat mazmumah (sifat hati yang terkeji) dalam hatinya dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah (sifat hati yang terpuji ).

Hakikat ini bukan ilmu yang boleh dipelajari, tetapi ianya anugerah Allah ke atas hamba NYA yang bersungguh-sungguh mempelajari, memahami, meyakini ilmu syariat secara ilmiah.serta melaksanakan hukum-hakam NYA (bersyariat dan bertarikat).

Bersesuaian dengan firman Allah : “Orang-orang yang bermujahadah pada jalan KAMI, KAMI tunjukkan jalan KAMI, Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang baik” Al Ankabut : 69.

Maka akan lahirlah manusia yang hatinya terpaut kecintaan kepada Allah. Manusia yang apabila disebut nama Allah, maka akan gementarlah seluruh jasad dan rohaninya. 

Akan lahirlah manusia yang memenuhi tuntutan konsep ibadah secara global yang mampu melaksanakan konsep ibadah menurut Islam yang merangkumi ibadah Asas, ibadah fadailul a’mal ( yang terkandung didalamnya amalan fardhu kifayah ) dan ibadah yang umum. 

Akan lahirlah manusia yang cantik dan anggun akhlaknya sebagaimana memenuhi tuntutan perutusan Rasul ke mukabumi untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Hakikat adalah perasaan rasa hati yang telah Allah campakkan kepada hamba NYA yang berusaha gigih untuk mendekatkan diri kepada NYA. Allah hapuskan sifat mazmumah dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah. Maka lahirlah dan hiduplah manusia itu dengan keadaan yang tenang dan berakhlak mulia, 

Inilah buah kepada pengamalan syariat. Inilah buah kepada iman & dan ibadah kepada Allah. Akhlak terpuji seperti sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”.

Dalam ertikata lain, hakikat adalah buah dari syariat dan tarikat. Atau lebih tepat, hakikat adalah buah kepada pengabdian diri kepada Allah. 

Allah hapuskan sifat mazmumah dalam dirinya dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah. Agar seseorang itu merindui saat beribadah bersama Allah. Dalam erti kata lain, hakikat adalah buah kepada ibadah.
\
Hakikat adalah hasil seseorang beribadah kepada Allah dengan kesungguhan hati. Ianya adalah anugerah Allah SWT. Maka akan lahir rasa takut kepada Allah, rasa tawakal dengan Allah, rasa harap kepada Allah, dan setiap amal perbuatan, perkataan dan gerak hati mereka sentiasa di pautkan kepada Allah. 

Setiap kejadian dan penciptaan alam dihubungkaitkan dengan kekuasaan dan keagungan Allah bagi menambah keimanan kepada Allah. Setiap kejadian musibah dan bala juga dihubungkaitkan dengan kekuasaan Allah dan kelemahan manusia sebagai makhluk bagi menyuburkan sifat sabar dan redha kepada Allah. 

Setiap kejadian nikmat dihubungkaitkan juga dengan kekuasaan Allah dan kelemahan manusia sebagai makhluk bagi menyuburkan rasa kesyukuran dan kehambaan. Disinilah tahap keimanan seseorang telah terserlah. Dia bukan sahaja mengenal Allah dengan akal fikiran melalui ilmu tauhid, tetapi juga secara keyakinan hati. Inilah yang diistilahkan sebagai makrifat. 

Makrifat ialah keyakinan yang memperkuatkan keimanan kepada Allah setelah menempuh syariat dan tarikat, serta mencapai rasa hakikat. 

 Orang yang memiliki makrifat inilah yang dinyatakan sebagai orang yang mengenal Allah dengan mata hati, ainul yakin. Orang yang sebeginilah yang diisyaratkan sebagai memiliki sifat yang disebut dalam Al Quran :
Al Anfal : Ayat 2-3 :Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. iaitu orang-orang yang mendirikan sholat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.

Apabila seseorang telah menempuh syariat dan beramal dengan ilmu syariat ( bertarikat ) serta diberi hakikat, maka lahirlah sifat makrifat. Sifat makrifat kepada Allah Taala yang akan memancarkan berbagai perasaan yang baik dan dasar semangat untuk menuju ke arah perbaikan. 

Makrifat ini dapat pula mendidik hati untuk senantiasa menyelidiki dan meneliti mana yang salah dan tercela, malah dapat menumbuhkan kemahuan untuk mencari keluhuran, kemuliaan dan ketinggian budi dan akhlak dan sebaliknya juga menyuruh seseorang supaya menghindarkan dirinya dari amal perbuatan yang hina, rendah dan tidak berharga sedikit pun.


Orang yang telah mencapai tingkatan makrifat , Allah ilhamkan jalan yang mampu membawanya ke arah kecemerlangan agar dia dapat menempuhnya dengan mudah. 

Dia juga akan Allah ilhamkan kepadanya jalan yang membawa kemusnahan agar dapat dia hindari sebagaimana firman Allah :

“Maka Allah ilhamkan kepada jiwa itu, jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang –orang yang mensucikan jiwa (nafsu) nya itu . Dan sesungguhnya merugilah 
(celakalah ) orang yang mengotorinya.” As Syams : 8 – 10.

Orang yang mendapat hakikat dan makrifat, dia akan merasa dirinya sebagai hamba Allah yang hina. Tidak akan terlafaz dari lidahnya bahawa dialah yang paling bertaqwa. Tidak akan terlafaz dari perbuatannya tanda-tanda riak. Tidak terlintas di hatinya bahawa dialah yang paling kuat iman dikalangan manusia dan yang paling banyak amal ibadah dia antara makhluk Allah yang hidup di dunia. 

Seandainya ada di kalangan manusia yang memuji akan keupayaannya beribadah kepada Allah SWT, pujian itu dianggap suatu ancaman yang bakal merosakkan hubungan antara dia dan Allah. Dia akan segera menghentikan puji-pujian tersebut demi menjaga hatinya dengan Allah. 

Inilah sifat orang yang benar-benar memiliki hakikat dan makrifat. Seandainya dia merasa senang dan selesa dengan pujian tersebut , serta tidak menghentikannnya, nyatalah apa yang alami bukanlah hakikat mahupun makrifat, sebaliknya adalah tipu daya syaitan dan nafsu dalam amalannya. Hancur dan binasalah amalan itu kerana ujub. 

 Orang yang telah beroleh hakikat dan makrifat, tidak sama sekali menceritakan keseronokan bersama Allah kerana ianya adalah rahsia antara orang yang merasa kasih sayang Allah. Ianya juga disebabkan orang yang “sedang asyik bercinta” tidak ada masa untuk menceritakan rasa cinta yang dirasai kepada orang lain. 

Inilah cara membezakan sama ada seseorang yang pada zahirnya cantik akhlaknya, benar-benar telah memiliki hakikat dan makrifat, atau sebenarnya sedang berlakon memiliki hakikat dan makrifat. Atau dalam istilah lain, sedang ujub, atau istilah melayunya syok sendiri.

 Malanglah bagi mereka yang telah menempuh syariat dan tarikat, tetapi merasa ujub dan menyangka diri telah mencapai hakikat dan makrifat. Tertipu dalam beribadah.

Mudah-mudahan penerangan ilmiah ini akan mendorong kita untuk terus mempertingkatkan amalan kita ke arah ketaqwaan.

Susunan: Cik Puan Ayu Blogz

Rabu, 6 Februari 2013

SIAPA AKAN MASUK SYURGA DULU: ORANG BERILMU, PEJUANG, HAJI MABRUR ATAU ORANG KAYA DERMAWAN

Orang Kaya Akan Masuk Syurga Dulu…..

marksbasement-01


KITAB Durratun-Nasihin adalah sebuah kitab tua yang menjadi bacaan utama ulama pondok zaman dahulu untuk ditadah oleh murid-murid mereka. Kitab yang berkonsepkan kepada tasawuf ini merupakan kumpulan hadis yang bertemakan perkara-perkara fadail (kelebihan). Terkandung di dalamnya hadis-hadis yang mencerminkan kelebihan dan keistimewaan berakhlak mulia dan kesucian diri.

Dikatakan bahawa kebanyakan hadis yang terkandung di dalam kitab tersebut adalah daif dan lemah. Namun demikian sesiapa yang membaca dan dapat memahaminya, akan terbentuklah dalam dirinya keperibadian yang mulia dan akhlak terpuji, kerana kandungannya mengarah kepada mensucikan diri, memahamkan dengan mudah gagasan kejadian alam ini dan dapat meyakini konsep ketuhanan secara lebih berkesan.

Itulah sebabnya ulama dan tok guru pondok dahulu amat dihormati dan dimuliakan oleh masyarakat. Mereka mempunyai nilai kehebatan dan karamah. Anugerah ini didatangkan Allah kepada mereka kerana akhlak dan sifat-sifat sufi mereka.

Mungkin ulama dahulu tidak hebat berpidato, kelihatan selekeh dan serebeh, tidak kemas dan tidak bergaya, tidak berpangkat dan tidak bergelar, tetapi namanya menjadi sebutan baik. Dia tidak menjelajah mencari pengaruh dan populariti, tetapi orang ramai dari setiap pelosok datang menemui mereka untuk menimba ilmu dan mendapat keberkatan daripadanya.

Dia juga tidak mementing dan mengutamakan dirinya, tetapi orang ramai yang memberi kedudukan dan mendahulukannya dalam serba perkara sebagai penghormatan dan penghargaan kepada ulama. Dan ulama tidak pernah menagih atau menuntut penghormatan ini.

Adasebuah hadis yang menarik perhatian saya yang terdapat dalam kitab tersebut di bawah bab ilmu. Hadis yang berkenaan saya skripkan seperti berikut:

Di akhirat nanti berlaku dialog di pintu syurga antara malaikat Jibrail dengan Ridhwan yang menjaga syurga. Malaikat Ridhwan terpaksa meminta nasihat daripada Jibrail dalam menyelesaikan masalah empat orang manusia yang beruntung masuk syurga tanpa dihisab. Masing-masing memohon masuk syurga mendahului sahabat-sahabatnya yang lain.

Manusia yang berkenaan ialah pejuang yang syahid, orang kaya yang dermawan, pekerja haji yang mabrur dan seorang alim ulama yang soleh.

Malaikat Ridhwan meminta pertolongan Jibrail bagi menyelesaikan masalah mereka. Jibrail terus menemui mereka dan memanggil seorang demi seorang untuk menyelesaikan perebutan itu.
Pejuang yang syahid itu dengan sikap kepahlawanan dan kesatriaan maju ke depan. Terus saja dia disoal siasat oleh Jibrail.

Jibrail: Kamu pejuang yang mati syahid?
Pejuang: Benar! Saya syahid kerana membela agama.
Jibrail: Syabas, beruntung kamu!

Pejuang: Alhamdulillah, syukur.
Jibrail: Tetapi bagaimana kamu berani sehingga sanggup mati cuma kerana membela agama.

Pejuang: Mahu syahid. Jika menang dapat menyebarkan Islam dan mati terus masuk syurga.
Jibrail: Bagaimana kamu tahu mati membela agama itu syahid dan syahid itu balasannya syurga?
Pejuang: Orang alim memberitahu aku.
Jibrail: Oh, orang alim beritahu.

Pejuang: Begitulah. Saya amat yakin dengan apa yang dia beritahu.
Jibrail: Jika demikian jagalah akhlak kamu. Kamu tidak patut melewati orang alim. Biarlah orang alim masuk syurga mendahului kamu.

Pejuang itu kelihatan malu. Menundukkan kepalanya kerana menyedari ketidaksopanannya mendahulukan dirinya daripada orang alim, sedangkan orang alimlah yang menanamkan semangat juang ke dalam dirinya sehingga dia menjadi seorang pahlawan yang syahid.

Jibrail kemudiannya memanggil haji mabrur yang tiada cacat ibadah hajinya ketika mengerjakan ibadah itu.

Jibrail: Siapa kamu sehingga sanggup berebut-rebut masuk syurga dahulu daripada orang lain?

Haji: Saya seorang haji mabrur. Saya dapat tahu bahawa Nabi berjanji bagi haji mabrur seperti saya ini balasannya masuk syurga. Bukankah begitu?

Jibrail: Memang benar begitu. Tetapi dari mana kamu dapat tahu?
Haji: Guru saya, seorang alim yang soleh.
Jibrail: Kalau begitu jagalah kesopanan kamu. Biarlah guru kamu itu masuk dahulu.

Haji itu juga malu dan insaf, lalu mengundur diri di atas kesilapan yang tidak disedari. Disebabkan oleh sifat tamak, gelojoh dan pentingkan diri, maka dia lupa bahawa sebenarnya ada orang lain yang lebih utama daripadanya.

Kemudian Jibrail memanggil orang kaya yang dermawan.

Jibrail: Kamu juga berebut-rebut mahu masuk syurga mendahului orang lain.
Orang kaya: Memang begitulah kerana syurga itu milik saya.

Jibrail: Mengapa kamu mendakwa demikian?
Orang kaya: Saya orang kaya dan berharta. Harta itu saya peroleh secara halal. Saya bekerja keras dengan penuh amanah. Alhamdulillah, saya dapat kumpul banyak harta.
 

Kemudian harta itu saya belanjakan di jalan Allah. Saya nafkahkan kepada anak isteri, ayah ibu, adik-beradik, keluarga, waris jauh dan dekat serta orang yang memerlukannya. Saya bantu orang miskin, anak-anak yatim, orang tua yang tidak berwaris, bahkan kerajaan pun saya bantu melalui cukai dan zakat.

Jibrail: Dari mana kamu tahu ini semua bahawa orang kaya berharta yang pemurah itu diganjarkan Allah dengan syurga?
Orang kaya: Guru saya, orang alim.

Jibrail: Kalau begitu, orang alimlah yang berjasa kepada kamu sehingga kamu sendiri dididiknya sebagai dermawan.
Orang kaya: Memang benar. Terima kasih saya kepada orang alim.
Jibrail: Jadi, mengapa kamu biarkan orang alim itu di belakang. Biarlah guru kamu itu masuk dulu ke syurga.

Orang kaya: Saya setuju begitu. Biarlah guru saya itu masuk dahulu.
Jibrail: Itulah yang sepatut-patutnya.

Orang kaya itu pun mengundurkan diri. Jibrail kemudiannya memanggil orang alim dan mempersilakan dia ke syurga. Semua yang lain bersetuju mengizinkan orang alim itu mendahului mereka ke syurga. Tetapi kelihatan orang alim itu tidak bercadang demikian. Dia merendahkan diri dengan penuh tawaduk dan mengalah kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Kemudian terus saja dia berucap.

“Maaf sahabat-sahabatku sekalian dan para malaikat yang bijaksana. Memang benarlah saya adalah guru mereka. Tetapi kita harus ingat, saya tidak mungkin dapat mengajar dan mencurahkan ilmu saya kepada mereka jika tidak ada pahlawan yang berjuang dan sedia mati syahid kerana membela keamanan negara. Jasa pahlawan adalah besar kepada kita semua."

“Saya juga tidak akan beroleh pahala yang terus-menerus jika murid saya yang haji mabrur itu tidak mengamalkan ilmu yang saya ajar itu secara benar." 

“Dan saya orang alim, dia pahlawan dan dia haji mabrur tidak dapat menjalankan tugas masing-masing jika tidak ada orang kaya yang dermawan yang bersedia membiayai tentera berangkat ke medan perang, yang menyebabkan negara menjadi aman sehingga memberi kelapangan bagi perjalanan haji, dapat membangun madrasah dan masjid, membina tempat-tempat kebajikan, rumah-rumah orang tua, anak yatim dan lain-lain pembangunan. 

"Semuanya itu tidak mungkin terwujud jika di kalangan masyarakat manusia tidak ada orang kaya dermawan, atau tidak ada orang kaya yang sedar bahawa harta yang dimilikinya itu adalah amanah Allah."

“Oleh yang demikian, biarlah orang kaya lebih dahulu masuk syurga, kemudian pejuang, disusuli pula haji mabrur. Izinkan saya masuk syurga yang paling penghabisan, kerana peranan saya tidak sehebat mereka.”

Akhirnya Jibrail pun membuat keputusan sebagaimana yang dicadangkan oleh orang alim yang berkenaan.

Cerita-cerita yang sebeginilah yang selalu dibaca oleh ulama-ulama pondok dahulu kepada murid-muridnya dengan penuh penghayatan dan kasih sayang. Kerana itulah institusi pengajian pondok dahulu mendapat keberkatan, tetapi tidak sebilangan institusi pondok sekarang.

Susunan : Cik Puan Ayu Blogz