Rabu, 29 Disember 2010

PEPATAH tentang C.I.N.T.A. dan H.A.T.I

PEPATAH tentang C.I.N.T.A. dan H.A.T.I

 

01hb Februari 2010 pukul 8.50 pagi
1. Kita mengambil masa SEMINIT untuk JATUH HATI,
Kita mengambil masa SEJAM untuk MENYUKAI.
Kita mengambil masa SEHARI untuk MENYINTAI,
TETAPI kita mengambil masa SEPANJANG HAYAT
untuk MELUPAKAN seseorang.

2. Jangan pandang kepada KECANTIKAN kerana boleh jadi ianya PALSU.
Jangan kejar KEMEWAHAN kerana ianya akan SUSUT.
CINTA kepada ALLAH adalah CINTA yang HAKIKI.

3. Carilah seseorang yang membuatkan anda TERSENYUM,
Kita memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari kita yang suram.
Carilah yang membuatkan hati anda tersenyum.

4. Pada suatu ketika di dalam kehidupan, apabila anda teramatkan rindukan seseorang,
sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar.

5. Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan,
pergilah ke mana-mana
yang ingin anda tujui,
Jadilah apa yang anda inginkan,
Kerana anda hanya memiliki satu kehidupan
dan HANYA satu peluang untuk melakukan
semua perkara yang ingin anda lakukan

6. Ada mata kita lihat, ada telinga untuk mendengar,
ada hati untuk menilai, ada akal untuk berfikir...
hati dan akal perlu bersatu
agar tidak patah dilanda badai dan dilambung gelora..
kehidupan...........

7. Cinta suci itu milik mereka yang masih mempunyai harapan
walaupun mereka telah dikecewakan.


8. Milik mereka yang masih percaya, walaupun mereka telah dikhianati.
Milik mereka yang masih mencintai, walaupun mereka telah disakiti.
Milik mereka yang mempunyai keberanian
dan......
Milik mereka yang berkeyakinan bahawa cinta bukan sementara tetapi untuk selamanya


9. Cinta yang sebenar,
membiarkan orang yag kita cintai menjadi dirinya sendiri,
dan tidak merubahnya menjadi apa yang kita inginkan.
Jika tidak, kita hanya mencintai pantulan dari diri sendiri yang ada dalam dirinya.


10. Bercinta memang mudah.
Untuk dicintai juga mudah.
Tetapi untuk dicintai oleh orang yang kita cintai
Itulah yang sukar diperolehi....hu hu hu...

11. CINTA sejati adalah saat kita dapat merelakan CINTA itu bahagia,
bukan untuk mendapatkannya.

12. Satu-satunya cara agar kita memperoleh kasih sayang,
ialah jangan menuntut agar kita dicintai,
tetapi dengan memberi kasih sayang kepada orang lain,
tanpa mengharapkan balasan. (Dale Carnagie)

13. Allah telah menciptakan Adam dan Hawa
segala makhluk ciptaanNya berpasang-pasangan.
atas dasar rasa kasih dan sayang, saling memerlu dan bersandaran
Kita tidak sepatutnya merendah dan meremehkan perasaan pasangan kita,
orang yang telah mencintai serta menyayangi kita,
hargailah hati dan perasaan pasangan jiwa kita (soulmate)

14. Sesungguhnya cinta suci dan hakiki hanyalah kepada Allah SWT

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaa-Nya diciptakan pasangan hidup dari jenismu sendiri, supaya
kamu mendapatkan ketenangan hati dan dijadikan-Nya kasih sayang diantara kamu. Sesungguhnya
yang demikian menjadi tanda-tanda kebesaran-Nya bagi orang-orang yang berfikir".
(Alquran. Ar-rum: 21)


Kisah Saya dan Pelayaran Dunia Sementara ke Dunia Abadi

 KISAH 1:

Saya asyik mengepos di blog saya kebanyakan ttg ilmu2 agama.. kenapa itu pilihan saya, saya tidak tahu tahu tapi itulah gerakan naluri saya. Semakin saya pelajari tentang ilmu semakin banyak yang kelemahan saya.. pertama2 aku rasa sgt bersyukur kerana dilahirkan sbg orang Islam dan tidak perlu bersusah-- payah utk mencari sinar kebenaran Islam spt org lain.

Saya seorang yang sangat mecintai Seni dan saya bukan dari aliran agama. Namun seni itu mendekatkan saya untuk mengagumi dan mendekatkan diri kepada Pencipta iaitu Allah SWT. Tiada sebarang cacat dan tiada yang tidak seimbang dalam ciptaan Allah, segalanya sempurna dan indah... contohnya keindahan alam sewaktu cahaya senja berlabuh menaburi horizon.. serpihan campuran warna kuning, merah, jingga begitu sempurna.. Subhanallah...

Baiklah, biar kita berbalik tulisan saya ttg saya.... sesungguhnya saya sedar betapa dhaif dan hinanya diri..Ia sentiasa membuatkan saya berfikir, bermonolog dan muhasabah diri.

"Ya Allah, mampukah aku membawa bekal yang cukup di alam sana. Aku malu Ya Allah untuk menemuimu, kau terimakah taubat dan amalanku yang masih kecil ini..betapa banyak nikmat yang Kau berikan, adakah aku dikalangan orang yang bersyukur? Ampunilah aku, kasihanilah aku.. tetap d tingkatkan lah imanku Ya Allah.. jadikanlah aku dikalangan hambamu yang ikhlas....biarpun aku bukan orang yang tinggi ilmu agamanya. Namun aku mohon kepadaMu dalam kebanyakan doaku... hidupkan aku dalam Iman dan matikan aku dalam iman.. apa yang kucari adalah redhaMu dan kasihMu...aku tidak kisah betapa tinggi dan kuatnya ujianMu namun aku mohon kau tetapkanlah Imanku. Biarlah beribu manusia membenciku namun aku mohon Kau jangan membenci dan melupakan daku.. Cinta dan kasihMu adalah yang pertama buatku..janganlah Kau lupakan aku walau sedetikpun Ya Allah"

Semakin usia meningkat dan hari2 yang berlalu.. setiap pagi sewaktu mata ini bangun dari tidur.. aku akan berkata.... syukur, Alhamdulilah, aku masih bernyawa dan hidup utk diberi peluang beribadat, bertaubat, mengasihani, mengajar, bekerja dan berjuang..

kehidupan adalah guru yang paling baik buat kita jika kita seorang yang berakal yang dikenali sbg ilmu laduni. Akal diberikan Allah agar kita sentiasa menjadi orang yang bersyukur dan berfikir....menyedarkan kita bahawa kita ini tiada apa-apa yang perlu merasa sempurna dan wajar bersifat bangga..

"We are nothing dear" "nothing".... kalau orang itu perasan hebat kerana ditakdirkan sebagai Raja, Menteri, Orang kaya, berkuasa atau berpangkat.. hakikat sebenarnya adalah sebagai hamba Allah.

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia pasti sudah ditentukan qada' dan qadarnya.. terimalah ujian dan dugaan dgn redha dan bijaksana

KISAH 2:

owhh baru intro.. panjang intro kan.. semalam petang aku diuji dan sangat mengejutkan... Pihak Bank menelefon aku yang aku ada meminjam sejumlah duit yang besar yang bukan aku buat.. guna nama aku tapi orang lain yang dapat habuannya.. ini seperti kezaliman dan penganiayaan padaku.. berapa tahun dan berapa banyak yg perlu kuganti walhal pinjaman yang bukanku buat.. enam angka beb (120K)!! bukan satu nilai yang kecil, brp tahun perlu kuganti d bukan dr kesilapan ku...

maksudnya, ada orang yang telah mengunakan dokumen peribadiku bagi tujuan yang tidak baik.. walaupun terkejut namun aku yakin ini adalah ujian dan dugaan Allah.. aku sgt yakin dgn pertolongan Allah, doa orang teraniaya adalah sangat ampuh.. sabar, yakin, bertawakal dan berusaha utk selesaikan masalah ini.. Orang yang tidak bertanggungjawab ini, akan saya seret ke muka pengadilan supaya menjadi keinsafan pada orang lain.. sayan akan menyiasat dan telah melaporkan ke bank negara..





Sambungan Kisah AntiVirus Bernama Taqwa

ILMU KEBAL, ISTIQAMAH DAN ‘KEKUATAN'

Pernahkah kita menjadi ibu bapa yang buntu serta terfikir, apakah caranya untuk mengajar anak agar tidak menjadi baik hanya dihadapan kita? Ingin kita berikan mereka ilmu kebal iman?

Pernahkah kita inginkan suami atau isteri yang kebal dengan dugaan nafsu, syahwat dan dosa di luar sana.?

Pernahkah kita ingin diri kita, untuk sentiasa mampu menjauhkan diri dari dosa dan maksiat?

Selalukah kita berdoa dan berkata"agar diberi kekuatan oleh Allah untuk terus itu ini..jauhi itu dan ini?

Sedarilah, inilah masa untuk mencipta ilmu kebal, mendapat anti virus dosa dan meraih ‘kekuatan' yang sentiasa kita ungkap-ungkapkan dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan terleka dan terlalai!, Musimnya sudah tiba. Bulan Ramadhan dan ibadah puasa inilah jalannya, caranya, kaedahnya dan formulanya.

Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s

يا بنى آدم قد أنزلنا عليكم لباسًا يوارى سوآتكم وريشًا، ولباس التقوى ذلك خير

Ertinya : Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A'raf : 26)

ERTI TAQWA

Kalau sudah mengerti, taqwa itulah objektif, apa pula taqwa itu sendiri?

Erti taqwa dari sudut letal adalah takut atau sentiasa jauh dan berhati-hati.

Namun taqwa dalam konteks istilah khas di dalam Islam, tidak hanya terhad kepada makna takut dan menjauh, tetapi ia juga membawa maksud cinta dan mendekat.

Taqwa ini tidak berbentuk fizikal, tiada bentuk hexagon, bujur, bulat atau bersegi, tidak pula bertablet dan berkapsul. Ia adalah satu SIRAMAN KEIMANAN DAN KEYAKINAN bentuk spiritual. Tiada terlihat dek mata, hidu oleh hidung dan terdengar di telinga.

Nabi s.a.w pernah menerangkan bahawa taqwa itu tempatnya di dalam hati. Bukan hati fizikal di dalam jasad, tetapi hati nurani di dalam diri.

Imam Ibn Kathir menerangkan di dalam tafsirnya, bahawa Umar Al-khattab r.a pernah satu ketika di tanya oleh sahabat Ubay bin Ka'ab r.a tentang erti taqwa, lalu dijawabnya:[1]

أما سلكت طريقاً ذا شوك. قال: بلى. قال: فما عملت.

قال: شمرت واجتهدت.

قال: فذلك التقوى،

Ertinya : Pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?

Jawab Ubay : pernah

Umar : Bagaimana kamu lakukan?

Ubay : Aku  sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri

Umar : itulah juga sifat taqwa

Tepat sekali, itulah tanda taawa sudah tersemat di dalam diri, kesannya boleh dilihat dari perumpamaan yang diberi oleh Umar tadi. Apabila seseorang mempunyai kekuatan untuk terus berhati-hati dalam setiap tingkah laku, percakapan, tulisan, ibadah, niat, kerjaya, pelaburan, dan semua aspek, agar TIDAK MENCALAR redha dan hukum Allah swt, TIDAK mengundang murka Allah swt, tatkala itu. Antivurs dosa, iaitu TAQWA sedang berfungsi molek di dalam dirinya. Namun, tentulah kepenatan dan perlukan usaha bersungguh untuk tujuan itu?.

Tentu kerana baginda Nabi s.a.w telah menyebut bahawa lalau ke syurga adalah dengan duri-duri, sedangkan lorong ke neraka adalah dengan keseronokan dan syahwat.

Seorang lagi sahabat, iaitu Abu Darda r.a berkata :

تمام التقوى :أن يتقى الله العبد حتى يتقيه من مثقال ذرة، وحتى يترك بعض ما يرى أنه حلال ، خشية أن يكون حرامًا

Ertinya : Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yang haram.

Apa yang dikatakan oleh Abu Darda ini BERSUMBERKAN sebuah hadis nabi, yang ertinya :

لا يبلغ العبد أن يكون من المتقين حتى يدع ما لا بأس به حذرًا مما به بأس

"Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah' ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari dalam At-tarikh)

Ali Bin Abi Talib merumuskan ciri taqwa itu sebagai :

التقوى هي الخوف من الجليل والإيمان بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

Ertinya : Taqwa itu adalah :

1. TAKUT kepada (azab dan murka) Al-Jalil (Allah)
2. YAKIN teguh dengan apa yang diturunkan (seluruh inti Al-Quran)
3. REDHA dengan sedikit (nikmat dunia)
4. SEDIA menghadapi hari pemergian kematian)

Apabila semua yang disebut di atas sudah mampu diwujudkan, hidup akan menjadi lebih indah, tiada kepuraan, tiada banyak dukacita, tiada banyak kesedihan kerana dunia. 

Akhirnya, apa yang ingin saya tegaskan melalui tulisan ini, adalah  Taqwa itulah objektif dan hikmah kepada puasa. Yang memberi kekuatan fitrah kepada manusia setelah tercemar dimamah virus dan bakteria dosa. Agar kembali kepada fitrah, dengan pasakan kukuh tawa sebagai antivirusnya. Hala tuju hidup menjadi jelas dan terang, redha Allah, kematian yang baik dan nikmat di alam selepasnya menjadi sasaran utama.


Petikan dari tulisan Ustaz Zaharuddin

Antivirus Bernama Taqwa

1. Tanpa antivirus taqwa, iman dan islam seseorang juga akan mati, sama ada dia seorang kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua.

2. Tanpa antivirus taqwa, manusia hari ini menjadi kelam kabut serta hina tanpa pedoman, hidup sering berpura-pura.

3. Anak berpura-pura baik di hadapan ibu ayah,

4. Murid dan pelajar berpura-pura di hadapan guru dan pensyarahnya,

5. Ibu ayah berpura-pura baik di hadapan anak dan para ustaz,

6. Para ustaz dan ustazah berpura-pura baik di hadapan khalayak ramai

7. Isteri berpura-pura baik di hadapa suami,

8. Suami berpura baik di hadapan isteri

9. Dan berpanjanganlah senarainya. Semua akibat ketiadaan antivirus dosa, iaitu TAQWA.

Kebaikan dan ibadah menjadi bertempat dan bertempoh, tiada istiqamah serta konsisten. Keredhaan dan pujian manusia lain menjadi objektif tertinggi, menyeleweng dari objektif sebenar.

Tatkala itulah hadirnya musim pemulihan, Allah swt sediakan peluang bagi manusia yang sifatnya asyik berdosa dan berpura-pura agar kembali membetulkan punca salah, bajai akar kehidupan dengan iman, sirami ia dengan air TAQWA selaku pencegah kepada kepura-puraan dan kecintaan kepada nikmat sementara dunia serta perbuatan dosa.

Hukum Puasa Bagi Penyembur gas untuk pesakit lelah/ Astma

 Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan  apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.



Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini.



Pun begitu, kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.   Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)



Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

Jika Terfikir Lakukan Maksiat...

 Semua individu pasti akan terlintas untuk melakukan maksiat dan dosa, khususnya yang melibatkan dorongan seksual.  Lantaran itu hasil kerja professional Syaitan dan itu juga ajakan nafsu kebinatangan yang ada di dalam diri kita. Setiap kali terfikir maksiat terbabit pasakkan dalam hati dan minda akibat buruk yang menunggu akibat darinya seperti :
  1. azab api neraka, 
  2. azab kubur, 
  3. mati buruk (suul khatimah) dalam kemaksiatan 
  4. kejauhan dari rahmat Allah swt serta 
  5. tiada peruntukan Syafaat baginda nabi s.a.w 
  6. dan lain-lainnya.

Memang benar, implikasi buruk ini semuanya berupa hal-hal ghaib, namun bukan itu sahaja, terdapat  banyak pula implikasi buruk di dunia yang mesti disenaraikan di dalam minda dan hati seperti:-
  1. penceraian akan berlaku akibatnya, 
  2. pasangan zina mengandung, 
  3. bunuh anak luar nikah akhirnya mungkin berlaku akibat malu, 
  4. mungkin penceraian akan berlaku akibat darinya, 
  5. apa akan jadi kepada anak-anak ?, 
  6. kejian masyarakat, 
  7. ditangkap basah dan diumum di media, 
  8. adik beradik mengeji, 
  9. akan dijangkiti HIV dan seterusnya AIDS & mati, 
  10. dibuang kerja kerana imej buruk kepada syarikat,
  11. mati ketika zina dan khalwat dilakukan, 
  12. dan banyak lagi boleh disenaraikan.

Pasakkan semua implikasi negatif berbentuk spiritual (ghaib) dan fizikal ini di dalam minda setiap kali nafsu syahwat itu ingin dituruti atau mempengaruhi, harapannya ia nyalaannya akan mengecil.

KAWALAN
Panduan Kawalah nafsu syahwat secara ringkas dan padat (tidak mengikut aturan tertib) :-

  1. Fikirkan target kehidupan dan usahalah melaksanakannya, pinggirkan pemikiran berkenaan seks dan syahwat, sedaya mungkin. Sibukkan diri mencapai target tersebut.
  2. Datangkan keyakinan Allah maha melihat apa yang dilakukan di ketika ramai dan sendirian ,Allah swt sedang melihat apa yang sedang kita lakukan.
  3. Sedarkan diri malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang ditulis, diucap dan dilakukan.
  4. Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
  5. Putuskan hubungan ‘songsang' dan ‘gelap' sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperolehi melalui internet atau fizikal, melalui laman chat, email, web dan sebagainya. Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan syahwat. Jika berseorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, maka elakkan diri berseroangan di hadapan komputer. Jika berbual mesra dan makan tengahari bersama dengan rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elakkan diri darinya dan makan sendirian bersama yang sama jantina sahaja.  Begitulah seterusnya.
  6. Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.
  7. Ubah rutin kehidupan yang mendorong kepada peningkatan syahwat, semua orang tahu dan sedar apa jenis tindakan yang boleh mendorong syahwatnya, ia mungkin tidak sama antara satu sama lain.
  8. Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri membuat target baru seperti membuat blog dan update, menulis buku dan majalah, menghasilkan karya seni lukisan dan sebagainya. Buat satu target lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri anda untuk mencapainya. Tanpa target dalam kehidupan, keinginan syahwat akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong.
  9. Sertai kumpulan bersifat keagamaan yang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah, tapi awas elakkan kumpulan songsang dan ajaran sesat.
  10. Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan kegamaan, dengannya membuka ruang mendapat rakan dan sahabat yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat akan dapat dibendung hasil kesibukan menganjur program dalam kumpulan terbabit. Sekarang, mulakan usaha mencari kumpulan-kumpulan sebegini, sebagai contoh JIM, TABLIGH, ABIM, GAMIS, Persatuan Peguam Syarie, Persatuan Pengguna Islam, Yayasan AMAL, NISA , KARISMA dan sebagainya. Diharapkan dengannya waktu akan lebih terisi dengan program yang baik.
  11. Kalau anda sedang bekerja atau belajar, target untuk cemerlang dalam pelajaran dan kerja anda, dengan itu anda akan lebih sibuk dari biasa dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan, dengan itu, pemikiran kepada syahwat akan mula menurun atau ruangannya disempitkan
  12. Ziarahi kubur secara kerap agar syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.
  13. Fikirkan bahawa anda akan mati ketika sedang melakukan maksiat itu, adakah redha untuk menerima kematian dalam situasi itu?. Fikirkan selalu.
  14. Kalau sedang anda bersyahwat kepada seorang wanita sama ada di kaca internet, tv atau fizikal, segeralah berfikir tentang yang hodoh tentangnya agar syahwat menjadi menurun, seperti fikirkan mulut dan nafasnya berbau busuk, giginya kotor, muntahnya busuk, ada penyakit keputihan dan lendir,  najis tidak dibasuh bersih, ada AIDS  dan banyak lagi. Lawan nafsu yang sedang meningkat dengan mereka cipta perkara yang bertentangan dengan keseronokan nafsu. Ini diperlukan jika pemikiran terhadap alam ghaib dan akibat buruk gagal membendung perasaan.
  15. Kalau komputer dan internet kerap menjadi asbab peningkatan syahwat, perdengarkan bacaan Al-Quran setiap kali di hadapan komputer, InshaAllah dengannya rasa malu akan timbul, kalau tidak banyak, sedikit.  Kalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti dan keluarlah dari bilik dan melihat awan, langit, pokok dan laut dan ingtakan kebesaran Allah.
  16. Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan, satu jurus langkah kepada maksiat adalah kunci untuk Syaitan menjerumuskan kepada maksiat yang lebih besar. Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar mesti disekat segera.  Kerana itu Allah swt mengingatkan :-

وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Ertinya : Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah Syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh kamu    yang amat jelas ( Al-Baqarah : 168 )

17. Menjaga pemakanan, pastikan makan makan yang halal dan bersih. Makanan haram mendorong kepada syahwat yang lebih liar.
18. Memastikan harta yang perolehan adalah dari sumber halal. Sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. IBarat mutasi virus yang lebih merbahaya kepada kesihatan.
20. Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin semasa sujud di dalam solat agar diberikan kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
21. Segara beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat yang berat.

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدِّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Ertinya : dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertaqwa ( Al-Imran )

Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah yang mampu saya senaraikan demi membantu sesiapa sahaja untuk mengawal dan mengekang nafsu. Sekali nafsu sudah merasuk hati dan aqal, seseorang individu akan lupa hakikat sebenar dan ditipu oleh kenikmatan sementara. Lupa kepada keburukan kekal yang menanti. Sama-sama kita ingat-mengingati. Akhirnya Allah berfirman :-
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا * وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Ertinya : Telah berjayalah orang yang membersihkan hatinya dan telah rugilah mereka yang mengotorkannya (Al-Shams : 9-10)

Sekian

Petikan dari tulisan

Zaharuddin Abd Rahman

29 Julai 2009