Khamis, 14 Februari 2013

POLIGAMI 1

POLIGAMI

Poligami antara tanggungjawab sosial, keinginan lelaki dan keresahan wanita.

Poligami sebenarnya merupakan punca keresahan kepada isteri pertama lebih daripada merupakan masalah wanita keseluruhannya. Dari kenyataannya, wanita secara umum perlukan kepada poligami sebagaimana lelaki namun sebab sahaja yang berbeza.

Suami yang berkeinginan kuat, memerlukan lebih dari seorang isteri. Wanita yang lemah memerlukan perlindungan – bilangan mereka ini ramai – perlukan kepada suami. Tidak semua keadaan atau bukanlah keadilan mutlak kalau kita berpegang kepada kaedah ‘satu lelaki untuk satu perempuan’. Sebaliknya ia akan menyebabkan kepincangan dalam masyarakat. “Ustaz tolong cakap kepada suami saya…" Begitulah bunyinya seorang isteri memulakan luahannya apabila suami ingin ‘pasang cawangan’.  

“Dia tidak mampu, apa yang saya tahu –saya isterinya – dia tidak boleh berlaku adil. Bukan saya tidak setuju….”, luahnya lagi.Beginilah detik-detik kehidupan seorang isteri yang ingin dimadukan. Perasaan sedih, kecewa, celaru bercampur-baur, mengakibatkan bak kata pepatah, “mandi tak basah, tidur tak lena dan makan tak kenyang” seolah-olah seluruh dunia memusuhinya.  

Sebaliknya pula pengakuan suami. “Saya bahagia dengan isteri saya, kami tidak ada masalah, cuma saya rasa nakkan satu lagi.”Saya percaya saya boleh beri keadilan kepada isteri saya kalau saya berpoligami. Isteri saya Insya Allah boleh terima keadaan ini”.

Bukan kerana cantik. Kalau nak lihat pada kecantikan isteri saya yang pertama pun lagi cun…”.Keinginan yang melonjak-lonjak sukar ditafsirkan. Tetapi itulah hakikatnya. Ucapan suami yang berkobar-kobar dan keresahan isteri yang berdebar-debar  

Punca Apa yang perlu dikaji ialah, apakah punca kepada keresahan isteri pertama itu sebenarnya? Dari pengamatan penulis ada beberapa punca yang menyebabkan perkara itu berlaku: 

1. Ia kadangkala berpunca daripada sikap wanita itu sendiri yang pentingkan diri sendiri   (isteri pertama), sukar untuk bertolak ansur, dan sukar menerima hakikat ia sudah berkongsi tongkat. 
2. Kadang-kadang berpunca dari sikap lelaki yang bersikap ‘habis madu sepah dibuang’ dan 
    senang melihat penderitaan isteri yang dimadukan. 
3. Kadang kala berpunca daripada masyarakat yang memandang serong kepada poligami, 
    sehingga menganggap isteri tua tidak pandai menjaga suami dan sebagainya. 
4. Serta tidak kurang juga masalah datang daripada isteri kedua yang tamak dan tidak sedarkan 
   diri. Setelah mengambil suami orang dia berusaha merampasnya terus.

Keempat-empat punca ini, adalah penafsiran sebenar kepada keresahan untuk menerima hakikat bermadu oleh isteri pertama. Ia bukan disebabkan oleh poligami itu sendiri. Poligami membawa kebaikan kepada masyarakat dan keluarga jika ia dilaksanakan dengan menepati kehendak hukum Islam. Sistem Islam yang amat adil ini dicemari oleh perbuatan manusia sehingga poligami dilihat negatif oleh banyak kelompok masyarakat. Jika sekiranya manusia lelaki dan wanita bersikap adil (adil bukan hanya sifat lelaki) poligami akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang sedang dihadapi oleh manusia kini.

Kesedaran Sosial Penulis ingin mengajak isteri-isteri untuk merenung nasib kaum sejenis dengannya. Siapakah yang lebih halus perasaannya untuk merasa belas kasihan kepada kaum wanita yang tidak bernasib baik, kalau isteri pertama hanya mementingkan diri dan mengatakan jangan kacau suami saya, maka siapa yang akan selamatkan mereka? 

Kalau begitu wanita adalah mereka yang paling tidak sensitif dengan isu wanita dan amat mementingkan diri sendiri. ” Kalau nak kawin dengan anak dara tua oklah juga atau selamatkan janda yang tidak terbela…..ini tidak, nak cari anak dara, berkelulusan tinggi ada profesion dan kadang kala tidak pentingkan agama….ada potensi boleh didik dakwanya. 

Mana tanggungjawab sosial di sini? Saya nampak tak ada lain kecuali nafsu”.Ya, kenyataan itu ada benarnya, namun tanggungjawab sosial tidak terhenti kepada masalah yang disebutkan. Mengelakkan berlaku perzinaan dan hubungan sumbang juga adalah suatu tanggung jawab sosial.
Suami ada sebab tersendiri yang diterima syariat untuk melepaskan keghairahannya dengan cara berpoligami. 

Kepada isteri kedua hendaklah berterima kasih kepada isteri pertama. Hormatilah mereka sebagaimana sepatutnya. “….Dulu saya yang carikan untuknya isteri, sampai hati dia sanggup meninggalkan saya” .Jagalah lidah daripada ucapan menghasut, dan usaha untuk control suami. ” Saya tidak suka dengan perempuan gila tu..tak tahu jaga laki !!!

"Islam melarang isteri yang bermadu bertindak demikian. Hadapilah sikap mementingkan diri sendiri dengan mujahadah. Sebaliknya berilah dorongan kepada suami agar bersegera ke rumah isteri pertama. “Abang kalau balik sana , kirim salam pada kakak ya!”

Kekang keinginan dengan perasaan tanggungjawab. 

“Masa mula-mula kahwin dulu dia balik setiap dua hari tetapi sekarang ada saja alasannya”.“Kalau yang sana tu telefon cepat-cepat dia balik, kadang-kadang nak minum air bersama anak-anak pun tak sempat”.Selepas beberapa bulan dari berpoligami kenyataan perit bermula. 

Perahu kini sudah tidak berkemudi lagi. Lajak sudah tidak boleh diundur dan nasib isteri pertama sukar diramalkan. Rasa tanggungjawab mula nipis dan ikrar keadilan mula dilupakan. Suami mula menghadapi dunia baru yang tidak dijangka sebelum ini.

 “Macam mana selepas buka cawangan?”  

“Perempuan, perempuan juga. Kalau belum mula tu…. tak payahlah”.Oleh kerana menyedari akan ragam manusia ini Islam meletakkan panduan yang lengkap yang perlu di ikuti oleh pasangan yang ingin berpoligami. Naluri keinginan lelaki seharusnya dihalakan untuk memenuhi tuntutan sosial seperti berikut;  
1. Kemandulan: 
Isteri tidak mampu melahirkan zuriat untuk si suami. Islam mengharuskan suami untuk berpoligami sebagai satu usaha untuk memperolehi zuriat sendiri.
  1. Penyakit: Isteri mengidap penyakit yang menghalang si suami untuk menikmati kehidupan rumahtangga secara sempurna, kerana isteri gagal memberi layanan yang sewajarnya kepada suami, Islam mengizinkan suami untuk berpoligami sebagai satu ganjaran terhadap kesabaran suami yang sanggup menjaga dan menanggung isteri yang berpenyakit. 
  2. Nafsu: Suami memiliki keupayaan seksual yang luarbiasa dan tidak mampu ditampung oleh seorang isteri, apatah lagi sekiranya si isteri berada dalam haid dan nifas. Islam mengharuskan suami berpoligami untuk memelihara kesucian agama dari terjebak ke lembah maksiat. 
  3. Pertambahan bilangan MJ janda, MB balu dan MA andartu: Bertambah bilangan kumpulan di atas secara tidak langsung menambahkan bebanan sosial dan mempengaruhi kerosakan akhlak di kalangan masyarakat. Keadaan ini mendorong sesiapa yang berjiwa mulia untuk berpoligami dengan niat memelihara kehormatan dan kemulian kaum wanita. 
  4. Musafir: Para suami yang banyak bermusafir keluar negara dalam tempoh yang agak lama diatas urusan tertentu juga adalah antara faktor yang membolehkan lelaki untuk berpoligami. Kerana dengan itu ia dapat mengelak dari terjebak kepada dosa dan zina.
  5. Pertambahan bilangan perempuan: Perkara ini berlaku disebabkan kematian ramai kaum lelaki. Keadaan ini juga adalah antara sebab sosial yang mengharuskan poligami.
Syarat-syarat poligami
Ada beberapa syarat yang ditetapkan kepada lelaki yang ingin berpoligami. Antaranya ialah:
  1.  Ada keinginan daripada pihak lelaki 
  2.  Tidak boleh melebihi empat orang. Islam menghadkan poligami hanya kepada empat orang sahaja.
  3. Mampu berlaku adil. Keadilan meliputi perkara-perkara berkaitan tempat tinggal, nafkah, makan pakai dan tidak termasuk hal-hal yang berkaitan dengan hati dan kecenderungan perasaan. Jika keadilan gagal dipenuhi Islam tidak mengizinkan lelaki berkahwin lebih daripada satu. 
Hukum berpoligami.     
Wajib apabila dibimbangi membawa kepada zina dan maksiat
  1. Harus, bila suami berkemampuan dan berkeinginan untuk berpoligami
  2. Haram, apabila tidak mampu menunaikan hak yang sepatutnya kepada isteri-isterinya.
  3. Makruh, apabila suami gagal menunaikan beberapa hak isterinya dan dengan keredaan isteri 
Apakah poligami harus digalak atau harus dihindari terserahlah kepada penilaian suami yang bijaksana. 

Susunan semula: Cik Puan Ayu Blogz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan