Azab meninggalkan sembahyang 5 waktu
Susunan Hashim Ahmad
KITA diwajibkan Allah s.w.t untuk mendirikan solat dengan tujuanmengingati-Nya. Dengan solatlah kita dapat mendekatkan diri dan selalu mengingati Allah. Firman Allah bermaksud: “Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk menyembah-Ku” (Surah Adz-Dzariyat: Ayat 7).
Berdasarkan ayat di atas, adalah menjadi kewajipan kita mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Menunaikan solat lima waktu dalam sehari semalam boleh dianggap tanda pengabdian kita kepada Allah Al-Khalik.
Ibnul Qayyim Al-Jauziyah Rahimahullah berkata: “Manusia yang mengerjakan solat terbahagi kepada lima golongan iaitu:
i. Golongan orang yang zalim terhadap dirinya sendiri dan lalai iaitu orang yang tidak menyempurnakan wuduknya, waktu pelaksanaan solatnya, batasan dan rukun.
ii. Orang yang menjaga waktu, batasan dan rukun solat serta menyempurnakan wuduk secara umum, namun semua itu tidak memberi makna apa-apa dalam jiwanya sebab dia dipengaruhi gangguan sehingga dia mengenepikan segala gangguan dan fikiran itu.
iii. Orang yang selalu menjaga batasan dan rukun solat. Dia berusaha di dalam dirinya untuk menolak segala gangguan dan godaan. Dia bersungguh-sungguh melawan musuhnya supaya tidak mencuri solatnya. Dia pun selalu solat dengan melawan godaan itu.
iv. Seseorang yang selalu melaksanakan solat dengan memulakan semua hak, rukun dan batasan solat. Seluruh hatinya tertumpu untuk selalu menjaga batasan dan hak dalam solat supaya tidak ada satu bahagian pun yang disia-siakan, bahkan seluruh tumpuannya hanya untuk menegakkan solat, menyempurnakan dan melengkapinya. Seluruh hatinya hanya untuk solat dan beribadah kepada Tuhan al-Rabb s.w.t.
v. Orang yang melaksanakan solat seperti golongan keempat. Namun, di samping itu, dia mengambil dan meletakkan hatinya di hadapan Rabb Azza wa Jalla yang selalu melihat hati dan mengawasinya, seakan-akan dia melihat dan menyaksikan- Nya. Sesungguhnya, godaan dan bahaya sudah surut daripadanya sementara kecintaan terhadap Tuhannya semakin meningkat.
Inilah perbezaan antara dirinya dengan orang yang lalai, seperti perbezaan antara langit dan bumi.
Inilah orang yang telah ‘ditakluki’ oleh solat untuk Rabbnya.
Sesungguhnya, golongan pertama akan mendapat seksa, golongan kedua akan dihisab, golongan ketiga mendapat keampunan, golongan keempat mendapat pahala dan golongan kelima didekatkan Allah s.w.t.
Ulama berpesan untuk kita jadikan pegangan dan renungan iaitu sesiapa meninggalkan solat Maghrib, dosanya seperti berzina dengan ibunya sendiri bagi lelaki dan berzina dengan bapanya sendiri bagi yang perempuan! Jadi, apakah bezanya sumbang mahram dengan meninggalkan solat Maghrib?
Sesiapa yang meninggalkan solat Isyak, Allah tidak reda ia hidup di bumi-Nya.
Ini bermakna, setiap langkah kita tidak mendapat perlindungan- Nya di dunia ini. Lebih malang bila kita diazab di dunia yang lain nanti (akhirat).
Sesiapa meninggalkan solat Subuh pula, dia akan diseksa selama enam puluh tahun (waktu akhirat) dalam neraka.
Perlu kita ingat, azab paling ringan adalah seperti mana azab yang dikenakan terhadap Abu Talib, iaitu bapa saudara Rasulullah s.a.w yang mana apabila dipakaikan kasut dari neraka maka mendidihlah sampai ke otaknya.
Selama ini kita hanya dapat bayangkan bagaimana air mendidih.
Mereka yang meninggalkan solat Zuhur diibaratkan seperti meruntuhkan Kaabah. Kalau begitu, sepanjang hidup kita ini tak payahlah berangan-angan untuk menunaikan haji. Itu adalah suatu perkara yang amat mudah.
Meninggalkan solat Asar sama dosanya dengan membunuh 1,000 orang Islam. Firman Allah s.w.t bermaksud: “Hai orang beriman! Janganlah kamu lalai (lengah) kerana harta benda dan anakmu daripada mengingati Allah (sembahyang lima waktu). Sesiapa yang memperbuat demikian itu, maka mereka orang yang rugi”. (Surah Al-Munaafiquun: Ayat 9)
Dalam ayat yang lain Allah berfirman bermaksud: “Allah tiada akan memberi tempoh kepada seseorang apabila sudah sampai ajalnya. Allah Maha Mengetahui mengenai apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Munaafiqun: Ayat 11).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan