Rabu, 17 November 2010

CABARAN ISLAM MASA KINI

CABARAN ISLAM MASA KINI


Oleh : al-Faqir ilallah Muhammad Uthman El-Muhammady.

بسم الله الرحمن الرحيم. نحمده ونصلى على رسوله الكريم
Secara ringkasnya bila kita berbicara berkenaan cabaran masa kini, kita boleh sebutkan cabaran dari dalam dan dari luar. Yang dimaksudkan cabaran dari dalam ialah perkara-perkara yang mencabar dari dalam masyarakat Islam sendiri, manakala cabaran dari luar pula ialah perkara-perkara yang mencabar yang bukan berasal dari dalam masyarakat Islam. Dan yamg dimaksudkan "perkara-perkara yang mencabar" itu ialah perkara-perkara yang memerlukan tindakan berasingan dari umat Islam dan pemimpinnya, serta pemikiran untuk mendatangkan langkah-langkah penyelesaian. Dan ini memerlukan minat, pengetahuan dan persediaan yang secukupnya dengan pertolongan Allah.

Cabaran Masa Kini Dari Dalam. 

Antaranya ialah ringkasnya : Cabaran kejahilan umat tentang Islam dalam hubungan dengan akidah, syariat dan hidup rohaniah.

Juga cabaran kelemahan amal dalam bidang Islam. Ini juga perkara kelemahan. Amal inilah-iaitu pada paras individu, keluarga, masyarakat dan negeri seluruhnya-baik yang disengajakan atau tidak disengajakan.

Tentang kelamahan dalam amalan ini jelas terlihat dalam ciri-ciri orang perseorangan kita yang tidak mencerminkan ciri-ciri keperibadian Islam dengan mengamalkan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan Islam seperti perjudian, perzinaan, pencurian, penganiayaan, yang melibatkan harta, kehormatan diri, dan keamanan masyarakat dan rumah tangga. Fenomena sedemikian antaranya menimbulkan wabak AIDS dan sebagainya, dan memerlukan kepada langkah memberangsangkan sifat-sifat "masyarakat penyayang".


Dan cabaran yang berkait rapat dengan apa yang disebutkan di atas juga ialah cabaran dalam bidang akhlak atau moral.Dalam hubungan ini kita boleh lihat kemerosotan dalam hubungan antara ibubapa dengan anak, suami dengan isteri, jiran dengan jiran, majikan dengan pekerja, ketua dengan anak buahnya, guru dengan muridnya, demikian seterusnya. Kerapnya kita mendapat berita tentang perogolan, pecah amanah, penipuan dalam kalangan orang-orang yang "senior" menunjukkan masyarakat sedang tercabar dalam hal ini. Kemerosotan dalam kalangan para ahli hiburan juga merupakan fenomena yang sangat tidak sihat.

Cabaran dari dalam juga jelas kelihatan dalam keadaan masyarakat Islam yang sudah kurang terdapat di dalamnya sifat "Ruhama'u bainahum" kasih sayang sesama sendiri. Dan fenomena perpecahan ini jelas di mana-mana, dari dalam keluarga sampai ke dalam masyarakat kebangsaan dan antara bangsa.

Dan termasuk antara cabaran-cabaran dari dalam masyarakat Islam ialah cabaran yang memberi layanan yang sewajarnya kepada mereka yang melarat dalam masyarakat Islam, supaya dengan ini kadar kemiskinan barada pada paras yang minima ( kita boleh ingatkan bahawa dalam masyarakat awal Islam ada masanya bila orang-orang yang layak menerima zakat sudah tidak ada lagi, misalnya pada zaman Khalifah Umar bin Ab. Aziz R.A).

Dalam hubungan dengan ilmu boleh disebutkan adanya cabaran-cabaran ilmu sesat dari dalam masyarakat Islam sendiri yang memberi tanggapan yang sesat tentang tuhan, nabi, hari akhirat dan pelaksanaan syariat.

Cabaran dari luar 

Bila berbicara tentang cabaran dari luar, maka kita teringat kepada ayat Al-Quran :
بسم الله الرحمن الرحيم : وَلَنْ تَرْضَىْ عَنْكَ الْيَهُوْدُ وَﻻَ النَّصٰرٰى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ـ (البقرة : ١٢٠)

Maksudnya : Dan sekali-sekali orang-orang yahudi dan nashora atau kristian itu tidak redha terhadap kamu sehingga kamu memeluk agama mereka (atau budaya, cara hidup "life" "style mereka : Millah).

Dalam ayat ini jelas dinyatakan bagaimana budaya yahudi dan nashora adalah berupa cabaran kepada umat Islam dan cara hidupnya.

Antara cabaran-cabaran yang datang dari budaya ini secara ringkasnya ialah :

Pandangan dan amalan sekular - iaitu pandangan dan amalan yang berdasarkan kepada anggapan bahawa agama dan dunia, hidup di dunia dan akhirat, perkara kerohanian dan kebendaan adalah berasingan. Dan ini lahir bentuknya dalam pemikiran dan amalan - dalam pendidikan, budaya, perekonomian dan kemasyarakatan serta ilmu pengetahuan.

Dalam pendidikan perlu umat Islam kembali kepada tanggapan tentang ilmu yang sepadu, serta amalan pendidikan yang selaras dengan dilihat dari segi tanggapan ilmu berdasarkan tauhid, pentarafan ilmu yang benar.

Dalam bidang budaya umat Islam perlu kembali kepada budaya dan konsep hidup yang sesuai dengan syariat dan sunah dan janganlah dihadkan budaya itu dalam penggertian sempit yang menyentuh bidang-bidang istetik atau soal kepuasan dari segi rasa sahaja-sebab itu adalah sebahagian sahaja dari diri manusia-bahagian yang cetek dan bukan mendalam, yang mendalamnya ialah bahagian rohnya.

Dalam bidang kemasyarakatan dan siasah perlulah umat Islam kembali kepada ciri-ciri siasah mengikut Islam dengan dasar-dasar : kebenaran, keadilan, persaudaraan, kesamarataan, persefahaman dan kerjasama didalamnya. Dan hendaklah dielakkan daripada siasah yang ciri-ciri hubungan antara bapa, ibu dan anak-anak sewajarnya.

Mengenai cabaran dalam hubungan dengan ilumu-ilmu Islam dan dakwah pula, maka diingatkan bagaimana adanya cabaran tentang hadith dalam bentuk pengaruh yang datang dari rasyad khalifah, dan sarjana-sarjana seperti Fadhlul Rahman Cicago. Dan dalam hubungan dengan sirah dan sejarah Islam serta hadith, cabaran timbul dalam bentuk penulisan seperti yang diusahakan oleh Salman Rusydi dan orang-orang yang sepertinya. Perlulah umat Islam berwaspada dan membuat persiapan supaya aliran-aliran yang sedemikian itu, yang berpunca dari kesarjanaan yahudi dan kristian, tidak merebak dalam kalangan kita.

Dan dalam hubungan dengan tanggapan tentang ilmu ini juga, kita perlu kembalikan umat Islam kepada sikap menghargai tradisi Islam dan sejarahnya, supaya umat Islam berpegang kepadanya.

Dalam hubungan dengan dakwah secara khusus perlu kita ingatkan cabaran kristian dalam kalangan kita di kepulauan melayu ini.

Dalam News Strait Times bertarikh 8hb Julai 1989 ada memuat berita bagaimana di adakan mesyuarat kristian antarabangsa di Manila Filipina, yang dihadhiri oleh 4,200 orang peserta di seluruh dunia.

Antara resulosi-resulosi dalam persidangan itu ialah : pihak kristian antarabangsa hendak menjayakan penginjilan (evangelization) 900,000.000 umat Islam seluruh dunia dalam tahun 2000 dan diputuskan dalam persidangan itu bahawa antara kaedah-kaedah yang diharapkan akan berkesan dalam penginjilan itu ialah :

1. Kaedah " low profile dialog" atau dialog secara tidak tertonjol, bahkan dengan senyap-senyap.
2. Dan " local evanelization" atau penginjilan tempatan. Ertinya mereka akan menggunakan orang-orang tempatan bagi menginjilkan orang-orang tempatan, juga dengan kaedah atau dasar senyap akan diamalkan.
Dalam hubungan dengan ini juga kita boleh ingatkan bagaimana dalam tahun 1989, Pope melawat beberapa negeri Asia, antaranya ialah Indonesia yang sekarang ini merupakan medan kristianisasi yang sangat subur. Dan di Malaysia pengalaman pahit di Sabah dan Serawak sepatutnya menjadi umat Islam sedar tanggungjawab dakwah mereka.

Dalam hubungan ini kita boleh ingatkan pendapat Dr. Chi Kun dalam bukunya (edisi pertama) " Malaysia Contemporary Religious Issue" atau " Isu-isu keagamaan semasa di Malaysia", yang didalamnya beliau menuduh umat Islam di Malaysia tidak matang kerana wanita Islam tidak dibolehkan berkahwin dengan non muslim dalam persatuan nya supaya menggunakan semua ruang-ruang yang ada dalam perlembangaan untuk mengembangklan agama kristian dan lain-lain dalam Malaysia. Dalam hubungan ini kita boleh memberi perhatian kepada maklumat bagaimana di'ayah kristian diharamkan di Singapura kerana sikapnya yang egrasif apabila menyangka peluangnya di Singapura terbuka.

Maklumat-maklumat seperti yang demikian ini perlu diawasi oleh golongan ulamak dan para cendikawan Islam serta pemimpin masyarakat supaya masyarakat Islam berwaspada tentang kemungkinan-kemungkinan yang merugikan Islam. Dari maklumat-maklumat di atas ada beberapa perkara yang timbul daripadanya. Antaranya ialah :

1. Bahawa sekarang sudah da terdapat semacam "perang salib dingin" yang dilancarkan oleh pihak kristian pada akhir abad 20 ini, demi untuk mencapai program penginjilan mereka pada akhir tahun 2000.
2. Bahawa pihak kristian masih memperingatkan dirinya tentang kemenangan mereka dan kekalahan muslimin pada zaman tengah. Kesedaran sejarah yang sedimikian memberi mereka satu sikap untuk menjayakan program pengkristianan antarabangsa itu.
3. Mereka akan menggunakan kaedah di'ayah secara senyap, dan penginjilan tidak ketara, dan itu adalah lebih berbahaya dilihat dari segi kepentingan Islam.
4. Umat Islam perlu bersiap sedia dalam menghadapi kemungkinan yang membimbangkan ini. Antara langkah yang perlu diambil ialah seperti memerhatikan kalau-kalau ada orang-orang Islam yang sudah terkena pengaruh kristian, atau sedang dalam proses demikian, dan kalau ada hendaklah diadakan proses pemulihan, sebab bahayanya adalah terlalu berat, lebih daripada dadah.
Perlu juga masyarakat Islam disiap sedia dari segi fahaman dan pegangan serta kedudukan dalam masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan di'ayah yang mungkin timbul dalam masyarakat.

Timbul keperluan untuk menggerakkan semua tenaga yang ada seperti ahli-ahli jawatankuasa masjid dalam negara, ahli-ahli masyarakat dan pemimpin-pemimpin agama supaya bersedia menangkis serangan yang mungkin timbul. Apa lagi agensi-agensi seperti Pusat Islam dan jabatan-jabatan Agama serta Majlis Agama Islam. Masyarakat Islam perlu menjadi "mata telinga" Islam supaya gerakan yang hendak meruntuh Islam ini dapat ditangkis.

Sudah tentu langkah demikian ini memerlukan kerjasama semua pihak, mulai dari pusat Islam sampailah kepada jabatan-jabatan, institusi-institusi pengajian dan sebagainya, termasuk orang-orang perseorangan, supaya gerakan seperti ini digagalkan dalam kalangan masyarakat Islam.

Kerjasama ini sebenarnya perlu diwujudkan pada semua peringkat, dari peringkat antarabangsa sampai kepada peringkat yang sehabis rendah dikampung-kampung. Dan perlulah umat Islam membebaskan dirinya daripada menjadi terkongkong dengan pengaruh barat dan budaya maklumat mereka, dan hendaklah mereka mencapai keperibadian sebagai satu umat yang membawa risalah dari tuhan. Dan kesedaran tentang ini perlu dipupuk dengan media masa yang terpandu oleh cita-cita dan nilai-nilai Islam.

Inilah antaranya cabaran-cabaran masa kini yang dihadapi oleh umat Islam, dan antara cara-cara menghadapinya. Sudah tentu Allah lah yang menentukan segala-galanya.

Dan kita percaya bahawa pada akhirnya Islam akan mencapai kemenangan. Hanya umat Islam perlu mempersiapkan diri mereka dan melakukannya dengan gigih.


<span>والله أعلم</span>

dipetik daripada
http://www.epondok.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan