Syarat-syarat taubat
Bagi diterimanya taubat, mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
Pertama: meninggalkan ma'siat dengan segera.
Kedua: niat atau azam untuk meninggalkannya atau untuk tidak mengulangi atau kembali kepadanya pada masa akan datang.
Ketiga: menyesali dalam hati ke atas perbuatannya pada masa lampau.
Keempat: penyesalannya itu disebabkan perasaan malu atau takut kepada Allah SWT, bukan kerana yang lain.
Kelima: mengembalikan setiap yang diambilnya secara zalim, atau meminta kemaafan daripada orang yang dizalimi atau disakitinya.
Ada juga yang mensyaratkan berterusannya penyesalan tersebut.
Daripada syarat-syarat tersebut, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa:
Seorang tua yang menyatakan bertaubat daripada perbuatan-perbuatan ma'siat, tetapi ketika ditanya mengapa ia membiarkan anaknya melakukan perbuatan tersebut, ia menjawab bahawa anaknya masih muda, dan bila ia sudah tua seperti saya, insya Allah, ia akan bertaubat juga.
Orang seperti ini sebenarnya belum bertaubat, kerana daripada jawabannya tersebut, kita memahami bahawa seandai ia dikembalikan ke usia muda, maka ia akan melakukannya kembali. Begitu juga daripada jawabannya tersebut, kita juga memahami bahawa pada dirinya tidak ada penyesalan terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukannya dahulu.
Begitu juga pernyataan taubat daripada seseorang ke atas sebarang perbuatan ma'siat yang telah dilakukanya, tetapi dalam masa yang sama ia merasa bangga bahawa dahulu ia telah melakukannya.
Seperti orang yang berkata dengan perasaan bangga. Aku dahulu jahat, aku sering minum khamar(arak), segala jenis khamar aku telah merasakannya, sering berzina dengan pelancur berbagai bangsa, dan sebagainya, tetapi sekarang aku telah bertaubat. Jika benar ia telah bertaubat, tentunya ia akan membenci perbuatan-perbuatan tersebut, merasa malu dan tidak akan mengatakannya kepada orang lain, yang dengannya tidak akan mengatakannya kepada orang lain, yang dengannya bererti ia telah menzahirkannya, iaitu suatu perbuatan yang jelas dilarang oleh Allah SWT.
Jenis-jenis taubat
Al-Tahanui, di dalam kitabnya telah menjelaskan jenis-jenis taubat sebagai berikut:
Di kalangan ulama ada yang mengatakan bahawa taubat ada dua jenis, iaitu:
Pertama: Taubat al-inabah, iaitu bahawa anda bertaubat kerana takut kepada Allah disebabkan kuasaNya ke atas diri anda.
Kedua: Taubat al-istijabah, iaitu bahawa anda bertaubat kerana perasaan malu kepada Allah disebabkan dekatNya kepada diri anda.
Abu Daqqaq berkata, Taubat terbahagi kepada tiga bahagian: pertama al-taubah, kedua Al-inabah, dan ketiga al-awbah.
Orang yang bertaubat kerana takutkan seksaan, maka ia disebut sahib al-taubah. Orang yang bertaubat kerana tamakkan pahala atau ganjaran, maka ia disebut sahib al-inabah. Dan orang yang bertaubat kerana semata-mata meraikan perintah Allah SWT tanpa perasaan takut seksaan atau tamakkan pahala atau ganjaran, maka ia disebut sahib al-awbah.
Dzu al-Nun al Misri pula berkata: Taubatnya orang awam adalah daripada dosa; taubatnya golongan khawas adalah daripada kecuaian atau kelalaian, yang oleh mereka dianggap sebagai dosa besar; dan taubatnya para nabi pula adalah daripada melihat kelemahan mereka untuk mencapai apa yang boleh dicapai oleh orang lain.
Ada juga yang mengatakan bahawa taubat merupakan sifat kebanyakan orang-orang yang beriman, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Nur:31:
"Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung".
Inabah merupakan sifat para Wali dan Muqarrabiin, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Qaaf: 33: "(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk ta'at".
Awbah pula merupakan sifat para nabi dan rasul, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Saad 44:
"Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayyub itu seorang yang sabar. Ia adalah sebaik-baik hamba, sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali(kepada Kami dengan ibadatnya)".
Peringkat orang-orang yang bertaubat
Mengikut pandangan Imam Ghazali, jika dilihat kepada dawam atau berterusannya taubat, orang-orang yang bertaubat itu terbahagi kepada empat peringkat:
Peringkat pertama: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam taubatnya hingga ke akhir hayatnya. Ia berusaha menebus segala dosanya, mencapai semua yang terluput daripadanya dan tidak kembali melakukan perbuatan-perbuatan dosa, melainkan dosa-dosa kecil yang biasanya tidak terlepas manusia daripadanya, melainkan nabi atau rasul.
Inilah yang disebut al-tawbah al-nasuh, dan jiwa orangnya layak disebut sebagai al-nafs al-mutma'innah(jiwa yang tenang), yang insya Allah, akan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan redha dan diredhai.
Peringkat kedua: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam ketaatan dan meninggalkan dosa-dosa besar keseluruhannya, tetapi tidak terlepas daripada dosa-dosa yang tidak disengaja, yang merupakan ujian dalam perjalanan hidupnya tanpa sebarang keazaman untuk melakukannya.
Setiap kali ia melakukan dosa ia mencela dirinya dan menyesalinya serta memperbaharui keazaman untuk menjauhi segala sebab-sebabnya. Jiwa orangnya layak disebut sebagai al-nafs al-lawwamah(jiwa yang banyak mencela dirinya).
Peringkat ini, meskipun lebih rendah daripada peringkat pertama, tetapi termasuk peringkat yang tinggi juga, dan ia merupakan kebanyakan keadaan orang-orang yang bertaubat. Kesudahan usahanya ialah memenangkan kebaikannya ke atas keburukannya.
Sehingga menjadi beratlah timbangan kebaikan atau hasanatnya. Kepada mereka Allah SWT telah memberikan janji yang baik dengan firmanNya di dalam surah Al-Najm:32:
"Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil(yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dima'afkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya".
Begitu juga Allah telah memuji mereka di dalam firmanNya di dalam surah Ali Imran:135:
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa selain Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)".
Peringkat ketiga: Orang yang bertaubat dan istiqamah beberapa masa, kemudian ia dikalahkan oleh syawatnya sehingga dengan sengaja ia melakukan perbuatan dosa kerana kelemahannya dalam menghadapi syahwatnya tersebut.
Tetapi, meskipun demikian, ia masih taat dan berusaha menghindari 'dosa-dosa lain, walaupun ada keinginan dan kemampuan untuk melakukannya. Selepas melakukan dosa, ia menyesali dan berharap alangkah baiknya kalau ia tidak melakukannya. Ia berazam untuk bertaubat dan berusaha melawan syahwatnya, tetapi nafsunya terus menggoda atau memujuknya, sehingga berkali-kali dari sehari ke sehari, ia menunda taubatnya.
Keadaan orang yang seperti ini termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Tawbah: 102:
"Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur-adukkan amal yang baik dengan amal lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".
Orang-orang seperti ini mempunyai harapan diterima taubatnya, tetapi perbuatan menunda-nunda taubat adalah sangat berbahaya, kerana mungkin ia didatangi maut sebelum sempat bertaubat, maka buruklah akibatnya. Na'udzu BiLlahi Min Dzalika.
Peringkat Keempat: Orang yang bertaubat dan istiqamah untuk beberapa lama, tetapi kemudian kembali kepada melakukan perbuatan-perbuatan ma'siat tanpa adanya bisikan dalam hatinya untuk bertaubat dan tanpa ada perasaan menyesali perbuatannya tersebut. Bahkan ia bergelimang di dalamnya seperti bergelimangnya orang yang lalai dalam mengikuti syahwatnya.
Orang seperti ini dikhuatirkan ke atasnya kesudahan yang buruk. Masalahnya kembali kepada kehendak Allah SWT. Jika Allah SWT menyudahi hayatnya dengan keburukan, maka ia akan menderita kesengsaraan yang tidak berkesudahan di akhirat.
Jika Allah SWT menyudahi hayatnya dengan kebaikan sehingga ia mati dalam tauhid, maka ia akan menanti kebebasan daripada seksaan neraka walaupun selepas beberapa masa.
Menuntut keampunan dengan amal-amal ketaatan adalah seperti menuntut ilmu dengan kesungguhan dan mengulang-kaji atau seperti menuntut harta dengan berniaga dan merantau. Adapun menuntutnya dengan sekadar harapan tanpa sebarang amal usaha adalah seperti mencari harta karun di tanah gersang, atau seperti menuntut ilmu dari pengajaran malaikat.
Di dalam surah Al-Najm: 39-41, Allah SWT berfirman:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya, dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan(kepadanya, pada hari kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna". - mks. _
susunan: Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan