Manfaat Hidup Sebagai Ibadah
Percayakah anda bahawa perkara yang biasa kita lakukan setiap hari seperti makan minum dan masuk tandas adalah dikira beribadah kepada Allah dan mendapat pahala? Inilah keistimewaan agama Islam, kerana ruang ibadah amat luas sekali. Ianya merangkumi setiap amalan kehidupan manusia. Faham Ibadah dalam agama Islam berlainan sama sekali dengan amalan kepercayaan dan agama lain.
Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, menolak dan meninggalkan kehidupan dunia, ianya juga bukan terbatas kepada tempat-tempat atau masa tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu atau dewa-dewa yang dipilih yang tanpa mereka amalan seseorang itu tidak akan diterima.
Allah telah menciptakan manusia dengan matlamat tertentu. Ia telah dinyatakan dalam surah al-Zariyat ayat 56 di mana ayat ini menjelaskan matlamat penciptaan manusia iaitu beribadah kepada Allah. Ibadah berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada yang lain. Menurut istilah syarak ia bermaksud taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah (swt) mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat.
Ibadah terbahagi kepada dua iaitu: i) Ibadah khusus : adalah merupakan sekumpulan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam rukun Islam dan rukun Iman seperti sembahyang, puasa, zakat, haji.ii)Ibadah umum iaitu semua amalan dalam kehidupan seharian diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Setiap apa yang dilakukan samada yang bersangkutan dengan individu mahupun masyarakat boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah jika memenuhi syarat-syarat tertentu. Ibadah bukan hanya merupakan solat, puasa, zakat dan ibadat haji semata-mata. Tetapi ibadah merangkumi segenap pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari meskipun dia tidak duduk di masjid-masjid atau surau ketika membuat kerja-kerja itu. Semuanya dikira ibadah kepada Allah apabila mencukupi dua syarat yakni pertama, niat kerana Allah dan syarat yang kedua, cara melaksanakannya sesuai dengan syariat Islam.
Selagi kita melaksanakan apa sahaja kerja dengan niat kerana Allah yang tidak haram menurut pandangan alam Islam, selagi itulah kerja-kerja kita dinamakan ibadah. Kerja-kerja tersebut akan dijadikan alat untuk menyempurnakan taat kita kepada Allah dan akan memudahkan kita menjadi khalifah Allah di muka bumi. Oleh itu, jika kita makan minum agar kita bertenaga untuk taat kepada Allah dan beribadat kepadaNya, maka makan dan minum kita berubah menjadi ibadah dan mendapat pahala. Mencari rezeki pun menjadi ibadah kepada Allah, kita mencari rezeki yang halal untuk menegakkan hidup kita dan memenuhi segala keperluan keluarga, juga menjadi ibadah kepada Allah.
Demikian juga jika seseorang itu bernikah untuk memelihara dirinya dari maksiat juga akan menjadi ibadah kepada Allah. Perkahwinan serta kesusahan mendidik anak cucu, semuanya itu berubah menjadi ibadah kepada Allah. Bersenam untuk menguatkan jasmani dan memelihara kesihatan supaya mampu dan kuat melakukan ibadah khusus juga merupakan ibadah. Dunia menjadi mihrab, menjadi tempat beribadah kepada Allah, ianya adalah mihrab yang besar, yang padanya kita melaksanakan amal dan usaha dengan kemuliaan niat sebenar kerana Allah.
Syarat yang kedua, yakni segala usaha dan amal yang kita kerjakan itu mestilah sesuai dengan syariat Allah dan ajaran Islam. Jadi makan dan minum mestilah yang halal, berpakaian selari kehendak syarak dan seumpamanya, semuanya dikira ibadah kepada Allah. Namun, jika amalan-amalan yang diharuskan oleh syarak tersebut tanpa diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah maka ia tidak menjadi ibadah malah menjadi satu adat kebiasaan sahaja dan tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala
Masih wujud kekeliruan dan salah faham berkenaan ibadah dalam masyarakat. Ada yang menganggap ibadah itu tertumpu kepada solat, puasa, haji dan zakat sahaja; terdapat juga mereka yang beranggapan ibadah itu hanya terkongkong di tempat-tempat tertentu sahaja dan tidak kurang juga yang berpendapat ruang ibadah itu adalah jauh sekali malah tidak ada sama sekali kaitannya dengan urusan masyarakat.
Ibadah merupakan pengabdian diri yang berterusan kepada Allah, mengamal serta mengikuti kehidupan sebagaimana yang ditentukan olehNya sepanjang masa. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja seseorang itu berada, perhubungan langsung dengan Allah dapat dilaksanakan. Agama Islam menganggap seluruh bumi kecuali tempat-tempat yang najis dan kotor sebagai masjid. Hal ini dapat dilihat dalam amalan Rasulullah SAW sendiri di mana beliau bersembahyang di tengah-tengah padang pasir dan juga semasa berjalan jauh.
Perlu diingat bahawa tidak mencukupi dengan hanya mengerjakan ibadah khusus semata-mata dan meninggalkan ibadah yang lebih umum, juga tidak harus ibadah umum melalaikan kita dari ibadah khusus. Harus juga difahami bahawa ibadah yang dilakukan oleh manusia adalah untuk manusia itu sendiri. Ramai yang keliru dengan menganggap ibadah adalah bagi Allah. Allah tidak memerlukan ibadah kita tetapi kita beribadah demi kepentingan dan kebahagiaan diri kita di dunia dan akhirat. Ibadah yang kita lakukan tidak pernah menambah ataupun mengurangkan kehebatan Allah. Ia adalah untuk diri kita sepenuhnya.
Allah sahaja yang berhak menilai siapa yang terbaik ibadahnya. Kedua-dua ibadah khusus dan umum yang disebutkan tadi melengkapkan pergertian ibadah yang sebenar di dalam agama Islam dan menunjukkan bahawa ianya adalah agama yang syumul. Tiada tempat untuk faham-faham yang mengasingkan ibadah dalam kehidupan dan menentukan tempat, waktu dan suasana untuk beribadah. Semoga kita dapat menjadikan seluruh kehidupan yang singkat ini sebagai ibadah yang berpanjangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan