Sesungguhnya kehidupan berTuhan itu amat indah dan bahagia. Namun,
masih ramai yang gagal menemui erti yang jelas dengan apa yang
dimaksudkan dengan kehidupan Rabbani, sehingga ada yang tersesat dalam
memilih Tuhan yang Esa sebagai sembahan mutlak. Ada yang mengambil Tuhan
hanya dalam beberapa aspek kehidupan sahaja dan yang lebih buruk lagi,
hanya kembali kepada Tuhan di saat kesusahan atau semasa berhajat kepada
sesuatu. Semua kesilapan dan kesesatan ini merupakan punca dunia hari
ini semakin merosot nilai dan kualiti kebahagiaan dan keselamatannya.
Dalam hidup berTuhan, Allah SWT adalah Tuhan yang sebenarnya perlu
diikhtiraf sebagai satu-satunya Ilah atau sembahan, dan tiada yang lain
selainnya. Allah SWT kemudiannya perlu dikenali dan dijadikan 'qasdul
hayah' atau matlamat kehidupan. Setiap gerak geri kita mesti untuk
pengabdian kepada Allah SWT semata-mata. Hati juga perlu mencintai Allah
SWT disamping ketundukan dan kepatuhan secara total.
Firman
Allah SWT maksudnya : “Hai orang orang yang beriman! Taatlah kepada
Allah dan taatlah kepada RasulNya dan kepada Ulil Amri diantara kamu.
Maka sekiranya kamu berbantah bantahan di satu perkara, hendaklah kamu
kembalikan dia kepada Allah dan RasulNya, jika kamu benar benar beriman
kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu sebaik baik dan
sebagus bagus takwil.
(Surah An-Nisa ayat 59)
Dalam ayat di
atas jelas, bahwa taat kepada pemerintah disyaratkan bahawa pemerintah
itu hendaknya dari golongan kita (orang orang yang beriman) dan orang
yang mahu kembali kepada Kitabullah dan sunah Rasulullah ketika terjadi
perselisihan pendapat. Dalam sebuah hadis disebutkan ,
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak boleh taat kepada makhluk dalam hal durhaka kepada Allah” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
“ Sesungguhnya taat itu hanya dalam hal makruf “ (Hadis Riwayat Bukhari)
Inilah falsafah Tauhid yang perlu dijadikan pegangan setiap manusia.
Kehidupan yang diwarnai dengan sinar Tauhid akan sentiasa membahagiakan
insan. Ia juga akan menjadikan semua masaalah hidup boleh dihadapi
dengan jiwa yang tenang, besar dan positif. Tauhid juga membawa manusia
kepada keselamatan, kebahagiaan dan kecemerlangan di dunia dan di
akhirat.
Kegagalan untuk kembali kepada Tuhan dalam aspek
kehidupan dan membawa manusia kepada kesesatan yang membinasakan hidup.
Bukan sahaja hidup sengsara di akhirat, malah kebahagiaan tidak akan
dapat dikecapi di dunia ini lagi. Kehidupan yang menyisihkan Tuhan akan
menjadikan manusia seperti binatang buas yang sentiasa mencari kepuasan
hawa nafsu.
Marilah kita menjalani kehidupan ini dengan
mencintai Allah SWT. Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai petunjuk kerana
inilah sahaja cara hidup yang diiktiraf oleh Tuhan yang menciptakan
insan dan seluruh makhluk, termasuk kehidupan itu sendiri.
Renungkanlah hadis Nabi SAW. yang bermaksud : "Barangsiapa yang menyeru
manusia kepada hidayah, dia mempunyai pahala seperti pahala yang dicapai
oleh orang yang menyahut seruannya tanpa mengurangi pahala mereka yang
menyahut seruannya, semakin banyak orang yang mengikuti seruannya
semakin berlipat ganda pahala yang diperolehi." (Hadis Riwayat Muslim)
Susunan Cik Puan Ayu Blogz yang dipetik dari artikel
Tiada ulasan:
Catat Ulasan