Ahad, 9 Januari 2011

Kisah Berapa Ramai Lelaki Boleh Jadi Imam

Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau
lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan
nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!"
Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan
sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat
belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya
disuruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di
asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur
membantu ibunya.

"Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan
penuh semangat.


"Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya, saya juga sibuk
belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab
si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya
tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya
buat begitu juga.

Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang kata,
jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur
hidup. Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama
dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna
pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan
penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya. Sekarang bukan asing lagi
gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai
raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari
ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih
perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu
handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau
boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard
yang telah ditetapkan. Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada
lelaki juga. Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi
imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman
perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus
teman wanita yang lain. Betul juga. Berapa kerat lelaki yang menjadikan
sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama,
selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita
kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawap tidak confident menjadi imam sebab takut
bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan
isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri
sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila
dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan
wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh
menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah
atau menjadi mangsa queen control. Kalau tidak pandai, belajarlah
sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan